Bursa Malaysia dibuka rendah pagi ini berikutan pasaran menerima berita mengenai prospek penurunan Petronas, selain aktiviti pengambilan untung menjelang hujung minggu.
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Peningkatan penghindaran risiko menyaksikan pelabur asing terus mengurangkan pendedahan mereka di Bursa Malaysia dengan jualan meningkat kepada RM709.9 juta antara tempoh 4-7 Mac, berbanding paras minggu sebelumnya pada RM447.7 juta antara 25-28 Feb.

Ketua pakar ekonomi Bank Islam Malaysia Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, dana asing kekal sebagai penjual bersih bagi 4 minggu berturut-turut berikutan keadaan luaran yang tidak menentu susulan pengumuman data ekonomi yang kurang memberangsangkan daripada ekonomi utama.

Mohd Afzanizam berkata Indeks Pengurus Pembelian (PMI) di ekonomi utama seperti Jerman, Jepun dan China berada di bawah garis penandaan 50 mata, menunjukkan bahawa sentimen pengeluar sangat lemah.

Selain itu, kerajaan China juga mengunjurkan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (kdnk) antara 6.0 dan 6.5 peratus bagi 2019.

“Ini membayangkan ekonomi China akan terus berkembang pada kadar sederhana tahun ini. Begitu juga Bank Pusat Eropah turut menyemak semula unjuran KDNK mereka daripada satu peratus kepada 1.1 peratus bagi pertumbuhan 2019.

“Ini boleh menjelaskan mengapa ekuiti tidak mencatatkan prestasi yang baik apabila para pelabur berada dalam situasi menghindar risiko sepanjang minggu,” katanya.

Selain itu, katanya, prestasi lemah di bursa tempatan juga disebabkan oleh keputusan pendapatan korporat yang kurang memberangsangkan yang dicatatkan oleh syarikat saham mewah dalam sektor telekomunikasi, utiliti, minyak dan gas, perladangan dan pembinaan.

“Pendapatan mereka terjejas daripada rosot nilai tinggi, membawa kepada keuntungan rendah dan sebahagian mencatatkan kerugian yang besar,” jelasnya.

Pada masa depan, prospek bagi pendapatan syarikat dijangka terus mencabar memandangkan jangkaan pertumbuhan ekonomi perlahan tahun ini.

“Peristiwa utama untuk diperhati minggu depan ialah Brexit apabila ahli Parlimen United Kingdom akan mengundi bagi perjanjian terkini itu. Justeru itu, kita boleh jangkakan pasaran ekuiti kekal lembap dalam tempoh terdekat ini,” katanya.

Bagi minggu yang baru berakhir ini, terdapat beberapa pengumuman keputusan kewangan utama termasuk Khazanah Nasional Bhd, yang mencatatkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM6.27 bilion pada 2018, berbanding keuntungan sebelum cukai RM2.89 bilion pada 2017.

Keuntungan dana nasional itu terjejas disebabkan oleh kurang penjualan pelaburan, pendapatan dividen yang berkurangan dan rosot nilai yang tinggi semasa tempoh peralihan bagi Khazanah.

Sementara itu, FGV Holdings Bhd mencatatkan kerugian bersih RM1.08 bilion dalam tahun kewangan 2018 berbanding keuntungan bersih RM130.92 juta pada 2017, dengan penurunan hasil sebanyak RM13.46 bilion pada 2018 daripada RM16.92 bilion sebelumnya.

Sebaliknya pula, keuntungan bersih Petroliam Nasional Bhd (Petronas) meningkat kepada RM55.3 bilion dalam tahun kewangan 2018 daripada RM45.5 bilion pada 2017, atas sokongan hasil tinggi dan disokong oleh masuk kira semula bersih rosot nilai aset.

Hasil syarikat minyak nasional itu juga meningkat kepada RM251 bilion daripada RM223.6 bilion sebelumnya dipacu oleh purata harga direalisasi lebih tinggi bagi semua produk utama.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI turun 20.86 mata untuk ditutup kepada 1,679.90 dengan pasaran kebanyakannya rendah berikutan petunjuk luaran yang lemah.- Bernama