Ambulan dikejarkan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Putih di Pasir Gudang.

KUALA LUMPUR – Jabatan Pendidikan Negeri Johor telah mengambil langkah drastik dalam kes pencemaran kimia Sungai Kim Kim yang telah menjejaskan lebih 200 orang termasuk pelajar sekolah kawasan Pasir Gudang.

Dalam perkembangan terbaharunya, sebanyak 11 buah sekolah yang terletak di radius kawasan itu akan ditutup bermula esok.

Timbalan Pengarahnya, Azman Adnan dalam satu kenyataannya lewat malam tadi mengumumkan arahan tersebut.

“Berdasarkan arahan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBBD) yang telah diadakan malam ini, JPN mengarahkan sebanyak 11 sekolah di kawasan Pasir Gudang, Johor ditutup mulai esok (Khamis 13 Mac 2019) sehingga dimaklumkan kelak,” katanya.

Sekolah sekolah yang terbabit adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Putih, SMK Pasir Putih, SK Tanjung Puteri Resort, SMK Tanjung Puteri Resort, SMK Kota Masai 2, SK Kota Masai , SK Perigi Aceh, SMK Kota Masai, SK Kota Masai 3, SK Taman Pasir Putih dan SK Kota Masai.

“Kesemua sekolah itu ditutup atas pengesyoran jawatankuasa yang bermesyuarat setelah mengambil kira aspek keselanatan para murid, guru dan semua pihak yang berkaitan di sekolah.

“Demi keselamatan semua pihak, tindakan susulan berkaitan penutupan juga telah dipanjangkan kepada pihak sekolah agar dimaklumkan kepada para ibu bapa dan penjaga murid terbabit.,” katanya.

Sebagaimana ditegaskan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik, Kementerian Pendidikan dan Jabatan Pendidikan Negeri Johor amat prihatin dengan keselamatan dan kebajikan semua pihak.

Setakat hari ini seramai angka mangsa yang terhidu gas kimia metana yang dibuang dalam Sungai Kim Kim dan mengalami kesesakan nafas meningkat kepada seramai 207 orang termasuk pemandu ambulans.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

https://malaysiagazette.com/blog/2019/03/12/sultan-johor-murka-mahu-tindakan-kepada-pihak-terlibat-kes-buang-sisa-kimia/