Keadaan aliran Sungai Kim Kim yang tercemar dipercayai akibat pembuangan sisa toksik di Taman Kota Masai Cermai, Pasir Gudang, Johor. foto HAZROL ZAINAL, 15 MAC 2019.

PUTRAJAYA – Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mempertahankan kenyataan Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian berhubung cadangannya supaya penduduk sekitar Pasir Gudang perlu menutup pintu rumah sebagai langkah mengatasi pencemaran udara akibat bahan kimia.

Dr Mahathir sebaliknya menegaskan mana-mana pihak sepatutnya memberi cadangan terbaik untuk menangani masalah pencemaran itu dan bukannya hanya mengkritik semata-mata.

“Mereka yang kritik kita, patut datang kepada kami sebelum kita buat sesuatu dan beritahu kami apa yang patut dilakukan dan kita akan ikut dia (cadangan),” katanya pada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini, hari ini.

Semalam, Osman dilaporkan berkata, tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat di Pasir Gudang, Johor kerana kawasan itu masih terkawal.

Osman juga berkata, pencemaran itu tidak merebak kepada murid lain dan ia mengambil masa hingga lima hari bagi proses pemulihan keadaan selepas tindakan diambil.

Kenyataan Osman mendapat kritikan selepas beliau mengatakan kawasan perumahan sekitar Pasir Gudang tidak terjejas kerana pintu kediaman boleh ditutup melainkan kawasan sekolah yang terbuka.

Tambahnya lagi, penduduk di kawasan perumahan terdekat perlu dipindahkan segera. Bagaimanapun kawasan perumahan tersebut tidak terjejas melainkan sekolah-sekolah berhampiran. – MalaysiaGazette