Perdana Menteri merangkap Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad (tengah) menyerahkan kad keahlian Bersatu kepada Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee (kanan) pada sidang media selepas majlis Penyerahan Kad Keahlian Bersatu di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 15 MAC 2019

PUTRAJAYA – Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee kekal sebagai pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara meskipun beliau telah menyertai parti pemerintah, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), hari ini.

Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, walaupun secara lazimnya jawatan itu diberikan kepada wakil pembangkang, namun kerajaan tidak terikat kepada polisi tersebut.

“Beliau masih lagi Pengerusi PAC. Ia bergantung kepada polisi kerajaan, PAC bukan satu institusi setakat ini dan sebahagian daripada Perlembagaan,” katanya pada sidang media selepas mengumumkan penyertaan enam bekas wakil rakyat UMNO ke dalam PPBM, di Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini, hari ini.

Terdahulu Dr Mahathir menyerahkan kad ahli PPBM kepada enam wakil rakyat bebas, dua daripadanya adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan empat ahli Parlimen Sabah.

Dua ADUN terlibat ialah Datuk Hajiji Mohd. Noor (Sulaman) dan Datuk Seri Masidi Manjun (Karanaan).

Manakala empat ahli Parlimen itu adalah Datuk Zakaria Mohd Edris (Libaran), Datuk Seri Ronald Kiandee (Beluran), Datuk Azizah Mohd. Dun (Beaufort) dan Datuk Abdul Rahim Bakri (Kudat).

Selain itu, dua bekas Senator UMNO turut menyertai PPBM iaitu Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin (bekas Ketua UMNO Bahagian Pensiangan) dan Datuk John Ambrose (bekas Ketua UMNO Penampang).

Dr Mahathir juga berkata, beliau tidak akan meminta ahli Parlimen Beluran itu meletakkan jawatan meskipun Barisan Nasional (BN) sudah menamakan calon penggantinya.

“Tidak (minta Ronald Kiandee letak jawatan) dia masih di sana.

“Mereka (pembangkang) perlu dapatkan majoriti untuk menyokong cadangan itu (Datuk Dr Noraini Ahmad),” katanya.

Dalam pada itu, Dr Mahathir juga berkata, PPBM akan melancarkan parti itu di Sabah pada 6 April ini.

“Sebelum kita pergi pun sudah ada permintaan untuk menyertai Bersatu di Sabah,” katanya.

Ditanya tentang status Ahli Parlimen Sipitang, Yamani Hafez Musa dan enam ADUN Sabah yang lain, Dr Mahathir bagaimanapun berkata, wakil rakyat Sabah itu belum menyertai PPBM.

“Belum lagi, kita akan lihat nanti. Saya fikir mereka akan sertai kita.

“Mereka perlu jadi bebas dahulu, kemudian kita kaji rekod prestasi dna komitmen kepada Bersatu dan PH, baru kita boleh terima,” katanya.

Sementara itu, Ronald Kiandee yang ditemui di Yayasan Kepimpinan Perdana hari ini memberitahu beliau sedia melepaskan jawatan sebagai Pengerusi PAC sekiranya diminta oleh Dr Mahathir.

“Kalau disuruh (letak jawatan), saya tiada masalah, saya hanya ikut (arahan) Dr Mahathir,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan