Tan Sri Musa Hassan
Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan bercakap pada Program Bicara Isu Hukuman Mati di Wisma MCA, Jalan Ampang, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 22 MAC 2019

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu menjadikan insiden tembakan rambang di Christchurch, New Zealand yang mengakibatkan 50 orang terkorban sebagai rujukan sebelum meneruskan cadangan untuk memansuhkan hukuman mati mandatori di negara ini.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan tidak menolak sekiranya undang-undang itu dimansuhkan insiden di Christchurch itu boleh berlaku di negara ini kerana pelaku tahu dia tidak akan dihukum mati.

“Mengapa mereka berani buat begitu? Mereka berani buat begitu kerana mereka tahu di New Zealand kalau bunuh orang tidak ada hukuman mati.

“Jadi mereka berani buat perkara itu, dia kata kalau saya bunuh orang pun saya tidak akan digantung, kalau saya buat (bunuh), saya akan masuk penjara, dan saya akan keluar balik

“Kalau saya duduk lama di penjara pun, saya dapat makan percuma, orang masih tanggung saya,” katanya berucap pada rundingan meja bulat untuk mengekalkan hukuman mati mandatori kepada pembunuh di Wisma MCA, di sini, hari ini.

Tan Sri Musa Hassan
Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan bersama Pengerusi Gerakan Pembela Ummah, Aminuddin Yahaya (kiri), Peguam kepada Mendiang Datuk Kevin Morais, Christina Teng (dua kanan) dan Adik kepada Mendiang Datuk Kevin Morais, Datuk Richard Morais menunjukkan poster-poster kes kematian dan isu hukuman mati yang terdapat di Malaysia pada Program Bicara Isu Hukuman Mati di Wisma MCA, Jalan Ampang, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 22 MAC 2019

Dalam insiden Jumaat lepas, seramai 50 orang terbunuh selepas suspek utama kejadian itu Brenton Tarrant, 28, melepaskan tembakan rambang di dua masjid ketika jemaah sedang menunaikan solat Jumaat.

Serangan itu dilakukan di Masjid Al Noor dan Masjid Linwood.

Tindakan Tarrant itu disiarkan secara langsung melalui akaun Facebook miliknya.

Mereka yang terbunuh adalah warga asing yang berada di negara itu termasuk dari Bangladesh, Pakistan, Turki, Malaysia dan Somalia.

Turut terbunuh, seorang remaja dari Malaysia, Mohd Haziq Mohd Tarmizi yang dilaporkan hilang pada awalnya.

Musa juga melahirkan kebimbangan sekiranya hukuman mati mandatori itu dimansuhkan, rakyat akan lebih berani melakukan pembunuhan termasuk menggunakan khidmat pembunuh upahan.

“Kalau tiada hukuman mati pun, jenayah meningkat juga, lagi orang berani buat jenayah, akan ada pembunuh upahan.

“Orang akan bayar pembunuh upahan untuk bunuh orang lain kerana dia tahu dia tidak akan digantung mati.

“Dalam negara kita ada kes-kes pembunuh upahan, sebab itu kita kena berhati-hati, kita nak memberi keselesaan kepada rakyat kita, supaya berasa selamat hidup dalam negara ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan