WASHINGTON – Presiden Donald Trump telah membatalkan dasar Amerika Syarikat berdekad-dekad lalu apabila membuat kenyataan sudah sampai waktunya untuk mengiktiraf kedaulatan Golan Heights yang diduduki Israel.

Golan Height telah dirampas oleh Israel pada tahun 1967 dari Syria.

Dalam Tweetnya, Trump mengisytiharkan bahawa dataran tinggi itu adalah “kepentingan strategik dan keselamatan kepada Israel dan kestabilan serantau”.

Israel merampas Golan pada tahun 1981 dalam langkah yang tidak diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Syria, yang telah berusaha untuk mendapatkan kembali rantau ini, setakat ini belum lagi mengulas.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengucapkan terima kasih atas kenyataan Trump itu.

“Ketika Iran berusaha menggunakan Syria sebagai platform untuk menghancurkan Israel, Presiden Trump dengan berani mengakui kedaulatan Israel di atas Golan Heights,” katanya.

Namun, Richard Haass, bekas pegawai kanan Jabatan Negeri Amerika Syarikat yang kini menjadi Presiden Majlis Pemikiran Hubungan Luar Negeri tidak setuju dengan tindakan Trump.

Beliau berkata pengiktirafan kedaulatan Israel akan melanggar resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang mengharamkan pengambilan wilayah melalui peperangan.

Pengisytiharan Trump itu menjelang persaingan sengit pilihan raya yang dihadapi oleh Netanyahu pada 9 April ini dan beberapa siri pendakwaan rasuah yang dihadapi oleh Perdana Menteri Israel. – MalaysiaGazette