Rajaretinam Armuggan
Rajaretinam Armuggan

KUALA LUMPUR – Sebuah gabungan NGO, RAPAT Malaysia akan mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH) kerana dikatakan memungkiri janji terhadap masyarakat India dan kaum minoriti dii negara ini.

Menurut Pengerusinya, Rajaretinam Armuggan, sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pemimpin PH ada berjanji kepada masyarakat India jika berjaya mengambil alih pentadbiran persekutuan, mereka akan menyelesaikan masalah kewarganegaraan dalam tempoh 100 hari memerintah.

“Bagaimanapun, sekarang sudah masuk 300 hari, janji yang ditabur secara lisan dan dimasukkan dalam manifesto khas untuk masyarakat India tidak ditunaikan.

“Saya mewakili NGO RAPAT Malaysia amat dukacita kerana masalah kewarganegaraan di kalangan masyarakat India dan masyarakat lain masih tidak diselesaikan oleh kerajaan PH sepertimana janji dalam manifesto sebelum PRU14,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini, hari ini.

Menurut Armuggan, ketika pemimpin PH berjanji, beliau turut sama di atas pentas dalam majlis pengumuman manifesto khas masyarakat India yang diadakan di Dewan Sivik Petaling Jaya.

Kata beliau, turut hadir pada majlis pengumuman ketika itu ialah Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang sekarang sudah memegang jawatan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad; dan Presiden PKR (ketika itu) yang sekarang Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

“Turut hadir bersama sebagai saksi kepada pengumuman itu ialah Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, yang mana sekarang sudah memegang jawatan Menteri Kewangan, selain pemimpin India, Kulasegaran, Dr. Xavier Jayakumar dan Prof. Ramasamy.

“Selepas itu, satu jawatankuasa ditubuhkan dan saya bersama rakan dijemput dalam beberapa mesyuarat, namun terus senyap tanpa sebarang khabar berita,” katanya.

Katanya, sebagai pemimpin masyarakat di peringkat akar umbi, beliau dihujani pelbagai pertanyaan oleh masyarakat India dan kaum minoriti lain seperti masyarakat Orang Asli, Sikh dan India Muslim akan kesudahan janji dan masalah kewarganegaraan mereka.

Namun, ujar Armuggan, beliau tidak dapat memberi sebarang jawapan kerana tidak ada maklum balas dari pemimpin masyarakat India PH yang sebelum PRU 14 beriya hendak membela dalam isu itu.

“Selepas PRU14 dan sudah hampir setahun PH mengambil alih pemerintahan, terus senyap tanpa sebarang tindakan dalam menangani isu berkenaan.

“PH bukan sahaja gagal dalam menunaikan janji untuk menyelesaikan masalah ini dalam 100 hari, namun sudah lebih 300 hari ia belum diselesaikan.

“Dengan ini, kami tidak mempunyai pilihan lain dan terpaksa mengambil tindakan undang-undang ke atas kerajaan PH,” katanya. – MalaysiaGazette