Calon Barisan Nasional, Datuk Seri Mohamad Hasan, calon Pakatan Harapan, Dr. Streram, calon bebas, Mohd Noor Yassin dan calon bebas, R. Malar menjulang tangan pada Penamaan Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Rantau di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Sendayan, Negeri Sembilan. foto FAREEZ FADZIL, 30 MAC 2019.

SEREMBAN – Proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau bermula tepat pukul 9 pagi tadi di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Bandar Sri Sendayan.

Pertama hadir di perkarangan pusat penamaan calon adalah dari parti PKR, Dr S Streram tepat jam 8.50 pagi sambil diiringi Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Penasihat Majlis Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin serta beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH).

Dr Streram mengemukakan borang penamaan tepat jam 9 pagi sebaik pintu dewan penamaan dibuka.

Lima minit kemudian, calon bebas, R. Malar memasuki perkarangan dewan penamaan.

Beliau yang merupakan penduduk tempatan dari Kampung Ganapathy, Rantau menyerahkan borang penamaan jam 9.07 pagi.

Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan memasuki dewan penamaan dengan ditemani Presiden UMNO yang bercuti dari memegang jawatan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Turut kelihatan bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein serta barisan kepimpinan UMNO, antatrat Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Noraini Ahmad.

Hadir sama beberapa pemimpin Pas, antaranya Naib Presidennya, Idris Ahmad dan Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Mahfodz Mohamad.

Mohamad menyerahkan borang penamaan beliau jam 9.05 pagi.

PRK Rantau dipanaskan lagi dengan penglibatan seorang lagi calon bebas, Mohd Nor Yassin.

Beliau menyerahkan borang pencalonan tepat jam 9.08 pagi dan menjadi calon ketiga dalam kertas undi 13 April depan.

PRK DUN Rantau dikendalikan Pegawai Pengurus PRK, Mohd Nizam Tajul Arus.

PRK Rantau diadakan selepas Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Mohamad untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban, pada 16 November lepas.

Sebelum ini, Mahkamah Pilihan Raya Seremban mengisytiharkan kemenangan Mohamad bagi kerusi DUN itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), terbatal dan tidak sah.

Mohamad memenangi kerusi itu tanpa bertanding pada hari penamaan calon pada 28 April, selepas Streram tidak dibenarkan masuk ke pusat penamaan calon kerana tidak memiliki pas dikeluarkan oleh SPR.

Streram memfailkan petisyen pada 23 Mei 2018 bagi membatalkan keputusan SPR mengisytiharkan Mohamad sebagai pemenang DUN Rantau.

Ini kali keempat Mohamad bertanding di DUN Rantau dan gabungan PH tidak pernah memenangi kerusi ini.

Untuk rekod, ini PRK ketujuh selepas PRK Sungai Kandis (4 Ogos tahun lepas); kerusi-kerusi negeri Balakong dan Seri Setia (8 Sept tahun lepas); kerusi Parlimen Port Dickson (13 Okt tahun lepas); kerusi Parlimen Cameron Highlands (26 Jan) dan kerusi negeri Semenyih (2 Mac). -MalaysiaGazette