Apa yang penting buat Sarawak ialah menyelesaikan isu berhubung sumber petroleum dan gas, pentas benua, wilayah maritim, dan isu kewangan.

KUCHING – Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 yang bertujuan mengembalikan kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai rakan sekutu Semenanjung hanya merupakan “kerja-kerja permukaan” , kata Penasihat Undang-Undang Kerajaan Sarawak, Datuk Seri J.C. Fong.

Beliau berkata, RUU itu gagal menyentuh banyak perkara penting dan tidak mengubah kedudukan Sarawak secara realistik.

Katanya, RUU itu tidak memberi impak yang besar, tetapi hanya merupakan “kerja permukaan” sahaja.

“Kedudukan Sarawak kekal sebagai sebuah negeri dan Pakatan Harapan hanya melakukan ‘kerja permukaan’ atas pertimbangan politik.

“Hakikatnya, ia tidak membawa manfaat yang besar buat Sarawak,” katanya kepada Sinchew Daily.

J.C. berkata, apa yang penting buat Sarawak ialah menyelesaikan isu berhubung sumber petroleum dan gas, pentas benua, wilayah maritim, dan isu kewangan.

Jelasnya, isu-isu itu mustahak kerana ia menentukan sama ada Sarawak mempunyai sumber kewangan mencukupi, yang seterusnya membolehkan Sarawak mendapat autonomi dalam soal pendidikan dan kesihatan.

“Isu-isu ini bagaimanapun tidak diselesaikan pada masa ini,” katanya.

Kerajaan Pakatan Harapan membentangkan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 untuk meminda Fasal (2) Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan.

Pembangkang termasuk dari Sabah dan Sarawak bagaimanapun tidak menyokong pindaan itu dan berpendapat pindaan itu tidak mengambil kira permintaan Sabah dan Sarawak walaupun kedudukan setaraf mereka dengan Semenanjung dikatakan  dikembalikan.

Wakil rakyat Gabungan Parti Sarawak dan Gabungan Bersatu Sabah telah meninggalkan dewan sebagai tanda bantahan terhadap pembentangan RUU oleh kerajaan yang dianggap mereka sebagai terlalu terburu-buru. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan