PRK RANTAU – Suasana di luar Bilik Gerakan Utama Pakatan Harapan di Bandar Ekar di sini menjadi tegang berikutan rasa tidak puas hati sesama penyokong berketurunan India selepas kekalahan calon mereka Dr S Streram.

Insiden itu bermula apabila seorang penyokong dari Kuala Lumpur yang menganjurkan prgram kebudayaan untuk pengundi India  menuduh penyokong di Rantau tidak bekerja bersungguh-sungguh untuk calon dan parti sepanjang kempen.

Beliau mendakwa keadaan itu menjadi punca Dr Streram tewas selain puluhan ribu wang yang dibelanjakan untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Rantau dibazirkan begitu sahaja.

Pergaduhan bermula sebaik sahaja keputusan rasmi PRK Rantau disahkan Suruhanjaya Pilihan Raya dan disiarkan menerusi skrin putih khas di BGU termsuk proses penjumlahan undi kira-kira pukul 7.30 petang.

Bermula dengan pertikaman lidah, suasana menjadi semakin panas apabila mereka bertolak sesama sendiri sehingga ke satu peringkat berlaku adegan tumbuk menumbuk.

Individu tersebut juga bersuara kasar ke arah Dr Streram menyebabkan pergaduhan antara penyokong tempatan kawasan Rantau dengan kumpulan individu dari ibu negara itu.

MGF13042019_STRERAM PULANG93
Calon PH, Dr. S. Streram meninggalkan Bilik Gerakan Utama Pakatan Harapan selepas mengetahui keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Rantau di Bandar Ekar, Rantau, Negeri Sembilan. foto NOOREEZA HASHIM, 13 APRIL 2019.

Pengamal media yang ada di tempat kejadian untuk mendapatkan reaksi Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun dan Dr Streram mengenai keputusan PRK turut menjadi sasaran kumpulan yang bergaduh itu.

Jurukamera dan jurufoto MalaysiaGazette, Astro Awani, The Star, BNC, dan MalaysiaKini yang merakamkan kejadian tersebut diberi amaran supaya berhenti berbuat demikian atau pun kamera mereka akan dipecahkan.

Seorang individu bergelar Datuk turut ditumbuk dalam kejadian itu sebelum beliau ditarik keluar dan dibawa masuk ke restoran bersebelahan BGU.

Polis dikejarkan ke lokasi sebelum Streram turun diiringi sorakan reformasi oleh para penyokong.

Beliau kemudian menaiki kereta BMW dan meninggalkan tempat itu sekitar pukul 8 malam manakala Menteri Besar menunggu di bilik mesyuarat BGU sebelum bercakap kepada media. – MalaysiaGazette