Datuk Osman Sapian melepaskan jawatan Menteri Besar Johor, Isnin lalu.

JOHOR BAHRU – Krisis Menteri Besar yang berlaku di Johor menunjukkan Pakatan Harapan kekurangan calon yang sesuai untuk memimpin negeri itu.

Ketua Pembangkang, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, setakat ini juga tiada calon yang dilihat sesuai untuk menggantikan Datuk Osman Sapian sebagai Menteri Besar Johor walaupun terdapat empat nama yang disebut-sebutkan.

“Semua mereka tidak berpengalaman dan ia bukan perkara yang mudah untuk memimpin Johor.

“Selain pengalaman dari segi pentadbiran, mereka juga perlu memahami setiap selok belok keadaan Johor,” katanya kepada China Press.

Hasni juga memberitahu bahawa beliau akan memohon izin untuk menghadap Sultan Ibrahim Iskandar bagi mengemukakan cadangan membubarkan Dewan Undangan Negeri untuk membuka jalan kepada pilihan raya.

Dalam pada itu, China Press melaporkan walaupun empat orang iaitu Sahruddin Jamal, Mohd Khuzzan Abu Bakar, Aminolhuda Hassan dan Mazlan Bujang disebut-sebut sebagai calon potensi untuk menggantikan Osman yang meletak jawatan, tetapi Tan Sri Muhyiddin Yassin boleh muncul sebagai “kuda hitam”.

Muhyiddin yang merupakan Menteri Dalam Negeri juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir yang memiliki pengalaman tiada bandingannya tidak kira dalam diplomasi atau administrasi.

Muhyiddin dilaporkan merupakan calon yang tidak dipertikaikan masing-masing oleh Istana negeri dan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Hasni sendiri juga dipetik The Star sebagai mencadangkan Muhyiddin untuk menjadi Menteri Besar Johor. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here