Sallehen Mukhyi
Pesuruhjaya PAS Selangor, Salehin Mukhyi berucap pada Majlis Pelancaran Deklarasi Selangor di Dewan Serbaguna MBPJ, Petaling Jaya, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 14 APRIL 2019

PETALING JAYA – Pemimpin Parti Amanah Negara (PAN) didakwa menyalahgunakan konsep Rahmatalil Alamin semata-mata untuk memperdayakan orang Melayu Islam bagi menyertai parti itu.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Sallehen Mukhyi mendakwa, konsep yang diambil daripada al-Quran itu digunakan pemimpin PAN sebagai taktik untuk memujuk orang Melayu lebih mempercayai mereka berbanding Pas.

“PAN guna Rahmatalil Alamin supaya orang Melayu ini (hati) jadi lunak, jangan main-main, ini ayat al-Quran, padahal bagi saya Rahmatalil Alamin tidak lebih untuk menipu orang Melayu supaya mereka tertarik dengan PAN.

“PAN itu sendiri sebenarnya sebagaimana dia selalu sebut dulu kepada Pas, hari ini terkena kepada dia bahawa dia sendiri menjadi kuda tunggangan kepada DAP,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Deklarasi Selangor anjuran Gerakan Bangsa Nasional (GBN), di sini, hari ini.

Sallehen juga menegaskan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof didakwa menghina Islam selepas cuba menyamakan kedudukan agama wahyu itu dengan agama lain di negara ini.

“Rahmatalil Alamin untuk jaga semua agama adalah sesuatu yang salah kerana meletakkan Islam sebaris dengan agama lain di negara ini.

“Sudah tentulah (Mujahid) satu penghinaan kepada Islam sebab dalam konsep tidak jelas. Sepatutnya dia kena bentang apa hala tuju jelas, apa yang dikehendaki dengan Rahmatalil Alamin.

“Kalau konsepnya menjaga semua agama, maka itu pun perlu dibentangkan, apakah konsep itu cara yang betul dalam makna Rahmatal Lil Alamin,” katanya.

Katanya lagi, Mujahid didakwa menggunakan Rahmatalil Alamin bagi tujuan politik kepartian tanpa mengetahui maksud dan konteks sebenar bersesuaian dengan masyarakat majmuk di negara ini.

“Konsep begini tidak boleh hanya berlegar dalam konteks parti-parti politik tetapi mesti menggunakan seluruh Jabatan Mufti bagi menentukan apa makna di sebalik Rahmatalil Alamin.

“Sebabnya dia tidak bebas, saya percaya semua dalam politik ini menggunakan satu trade mark untuk menarik minat

“Cara ini macam taktik bukan Islam guna lambang masjid dalam perniagaan walaupun pemiliknya bukan Islam, sebab dia tahu macam mana nak tarik pelanggan orang Melayu Islam supaya beli barang-barang dia.

“Sesetengah restoran bukan Islam itu, letak saja Bismillah, orang pun sudah lunak hati,” katanya lagi. – MalaysiaGazette