Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap kepada media pada Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 10 APRIL 2019.

KUANTAN – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan tindakan tegas akan diambil jika ada anggota parti itu yang terbabit dalam insiden pergaduhan dan memeriksa sebuah kereta peronda polis (MPV) di Rantau, Negeri Sembilan, semalam.

Beliau berkata kedua-dua insiden itu tidak boleh dipandang ringan kerana tiada sebab untuk mana-mana individu bersikap biadap atau angkuh seperti yang berlaku.

“… tiada sebab juga untuk (individu terlibat) mengambil alih kuasa dan kerja polis. Jika benar ini berlaku, saya sokong tindakan tegas polis kerana parti ini adalah parti yang menghormati undang-undang.

“Saya juga sudah merujuk kepada Biro Disiplin untuk membuat siasatan dalaman dan mereka bebas untuk mengambil tindakan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikkan Pejabat PKR Pahang di Kuantan Avenue, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah, yang juga Anggota Parlimen Indera Mahkota, dan Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri, Fuziah Salleh.

Anwar berkata demikian semasa diminta mengulas insiden pergaduhan yang didakwa berlaku di Bilik Gerakan Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau melibatkan dua kumpulan dalam PKR selepas keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Rantau diumumkan semalam.

Selain itu, turut tular di media sosial hari ini, ialah rakaman video lima lelaki, didakwa penyokong PH memaksa dua anggota polis membuka but MPV di hadapan pusat mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua, Rantau kerana mengesyaki kereta polis itu membawa kertas undi ke pusat pengundian.

Dalam perkembangan lain, Anwar menyifatkan kekalahan PH pada tiga PRK iaitu Cameron Highlands, Semenyih dan Rantau secara berturut-turut sebagai bukan suatu trend kerana ia bergantung kepada kawasan dan pengundi di situ.

“Kita menang empat PRK (Sungai Kandis, Seri Setia, Balakong dan Port Dickson) sebelum itu. Kita harus terima hakikat bahawa Rantau adalah kubu Tok Mat (calon Barisan Nasional Datuk Seri Mohamad Hasan) selama 15 tahun.

Menurutnya, kekalahan itu juga sebagai peringatan daripada rakyat yang semakin bijak menilai kerajaan untuk bekerja lebih kuat dalam menangani masalah dan menepati janji yang dibuat sebelum ini.

— BERNAMA

Tinggalkan Jawapan