Saksi, Pengurus Bank Negara, Ahmad Farhan Sharifuddin (kiri) bersama Pegawai Bank Negara Mohammad Nizam Yahya (kanan) hadir di Mahkamah Tinggi Jenayah 3 untuk perbicaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berhubung kes dana RM42 juta milik syarikat SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 17 APRIL 2019.

KUALA LUMPUR – Pegawai Penyiasat Bank Negara, Ahmad Farhan Sharifuddin, 32 memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa dia tidak tahu wujud komunikasi di antara seorang pegawai bank wanita dengan ahli perniagaan, LOw Taek Jho atau Jho Low.

Ahmad Farhan yang merupakan saksi keempat perbicaraan kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak  yang didakwa dengan tujuh pertuduhan berhubung dana SRC International Sdn.Bhd berjumlah RM42 juta mengakui bertemu dua pegawai bank dengan salah seorangnya Eksekutif Perhubungan Pelanggan yang bernama Joanna Yu Jing Ping.

Katanya, dalam pertemuan itu pihaknya telah meminta dokumen berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan dokumen transaksi berkaitan Najib Razak di tingkat 24 bangunan cawangan bank itu.

“Saya pernah bertemu dengan Joanna antara Mei dan Jun pada tahun sama bagi merakamkan percakapan berkaitan 1MDB dan merampas telefon bimbnit Blackberry milik dia,” katanya ketika  pemeriksaan balas oleh peguam bela, Harvinderjit Singh di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Ditanya Harvinder sama ada dia mempunyai sebarang pengetahuan bahawa Joanna pernah berkomunikasi dengan Jho Low memandangkan wanita itu merupakan pegawai di bank tersebut Ahmad Farhan membalas : Saya tidak ada pengetahuan mengenai perkara itu”.

Harvinderjit juga menunjukkan mahkamah sebuah buku bertajuk “Billion Dolar Whale” oleh Asian Wall Street Journal (WSJ) yang mendedahkan wujud komunikasi antara Joanna dan Jho Low menerusi telefon bimbit berhubung kemasukan sejumlah wang yang dirahsiahkan ke dalam AmIslamic Bank cawangan Jalan Raja Chulan.

Dalam pemeriksaan sama,  Ahmad Farhan memberitahu Harvinderjit  bahawa dia tidak pasti sama ada bertemu Daniel Lee Soong Heng and Kristle Yao,yang juga sejawatan Joanna di bank tersebut.

Harvinderjit meminta Ahmad Farhan mengemukakan telefon bimbit Joanna Yu memandangkan pihak pembelaan mahu memeriksa perbualan e-mel melibatkan wanita itu dengan Jho Low kerana komunikasi dua individu itu dilaporkan oleh buku Billion Dollar Whale tersebut.

Bagaimanapun Timnbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusof bangun membantah permintaan Harvinderjit, selain membangkitkan apakah perbuatan tersebut relevan dalam kes berkenaan.

Hakim Mohd Nazlan bagaimanapun membenarkannya selepas mendengar hujah permohonan barisan peguam Najib.

Beliau memerintah pendakwaan supaya menyerahkan perbualan telefon bimbit Joanna Yu, Lee and Yao yang melibatkan 11 individu lain termasuk Jho Low.

Sepanjang perbicaraan Najib duduk tenang mendengar hujah- hujah serta keterangan saksi keempat sambil melayan buku yang dibawa bersama beliau.

Najib diwakili barisan peguambela diketuai Tan Sri Mohammad Shafee Abdullah manakala Peguam Negara Tommy Thomas mewakili barisan Pendakwaan.

Kes ditangguhkan untuk disambung esok. – MalaysiaGazette