Ulasan ini bagus, tetapi bukan dalam konteks sekarang
Ulasan ini bagus, tetapi bukan dalam konteks sekarang

KUALA LUMPUR – Biar Pemilihan UMNO 2021 tentukan siapakah pemimpin yang bakal memimpin parti untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Ketika ini, semua pimpinan dan ahli diminta memberi tumpuan untuk mengukuhkan parti, memperbetulkan silaturahim dan setia kawan.

Hal ini dinyatakan oleh aktivis UMNO, Mohd Rafi Awang Kecik yang menyifatkan orang luar tidak perlu campur tangan berhubung siapa yang patut memimpin parti.

Mengulas tulisan Tun Abdul Hamid Mohamad, beliau menyatakan, pandangan bekas Ketua Hakim Negara itu bagus, tetapi bukan dalam konteks sekarang.

“Kita bersangka baik ulasan panjang lebar Tun Abdul Hamid, dan kita mengambil kira pandangan ini, biarkanlah ahli UMNO yang menentukan siapa yang patut pimpin untuk PRU15.

“Lagipun terlalu awal sangat untuk Tun Abdul Hamid mengulasnya. Pakatan Harapan (PH) menang PRU14 pun belum sampai setahun,” katanya dalam kenyataan kepada MalaysiaGazette hari ini.

Dalam artikel itu, Tun Abdul Hamid menulis, sebelum PRU14, betul atau tidak, beliau berpendapat Datuk Seri Najib Tun Razak patut berundur daripada menjadi Presiden UMNO.

Bagaimanapun, tulis beliau, masalahnya, siapa hendak menggantinya? Ini semata-mata berdasarkan persepsi, bukan hakiki dan pada masa itu, beliau fikir, jika Najib berbuat demikian, Barisan Nasional (BN) mempunyai peluang lebih baik untuk menang.

Itu tidak berlaku, katanya. Apa yang berlaku kita semua tahu, sekarang. Ia sudah menjadi takdir dan tidak boleh dirombak semula. Suka atau tidak, kita terpaksa menerimanya. Apa yang kita boleh lakukan adalah belajar dari kesilapan dan mencari hikmah di dalam musibah.

Itulah yang saya cuba lakukan selepas PRU 14, melalui rencana-rencana saya. Saya berkata, kekalahan BN memberi peluang kepada UMNO untuk membersihkan diri daripada politik wang. Saya menyuarakan, pemimpin-pemimpin UMNO patutlah bermuhasabah diri.

Mereka patut bertanya diri mereka sendiri adakah mereka menjadi liabiliti kepada UMNO? Mereka patut menjawabnya dengan jujur. Jika “Ya”, mereka patut berundur daripada memegang jawatan dalam parti.

“Saya mencadangkan supaya UMNO dan Pas bekerjasama (ini saya lakukan semenjak 2014) untuk mengelak perpecahan undi Melayu/Islam yang menyebabkan kemenangan kepada PH,” tulis beliau.

Menurut Mohd Rafi, sama ada Datuk Seri Mohamad Hasan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atau Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yang akan memimpin atau ada pemimpin lain selain dari mereka, biarlah masa dan takdir menentukan.

Cuma katanya, yang menjadi persoalan kenapa tiba-tiba muncul artikel sedemikian dan nama figura yang ditonjolkan?

“Tun Abdul Hamid pula jarang menulis artikel politik seperti ini. Fokus tulisan beliau nampaknya condong kepada Dr Ashraf sahaja. Tempua terbang rendah ke Tun? Jangan lihat sisi putih saja Tun.

“Pelik juga bila mana Tun Abdul Hamid tiba-tiba petik hanya nama Dr. Asyraf, sedangkan ramai lagi pemimpin UMNO yang lebih hebat, matang dan lasak. Sungguh menghairankan,” katanya.

Kata Mohd Rafi, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi cuba memberi ruang kepada timbalannya, Mohamad atau Tok Mat, makanya seharusnya tiada lagi isu kepimpinan yang perlu dimainkan.

Ujarnya, Ahmad Zahid tidak muncul dalam mana-mana media sekarang ini sebab tidak mahu dilihat membayangi Mohamad.

Maka, jelasnya, saat ini ialah focus sahaja kepada usaha memperkuatkan parti dan UMNO tidak perlukan “bomoh” untuk membuat percaturan serta telahan kerana memadai dengan semangat setia kawan dan solidariti kepartian yang ikhlas.

“Untuk ketika ini biarlah Tok Mat menjalankan tugas-tugas presiden seperti yang diamanahkan Presiden parti,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan