KUALA LUMPUR – Amaran untuk mengeluarkan Malaysia daripada World Government Bond Index (WGBI) hanya memberi kesan sementara kepada ringgit dan pasaran kewangan.

MIDF Research percaya mata wang tempatan itu akan melantun didorong oleh asas makroekonomi yang kukuh, permintaan global yang memberangsangkan dan pengambilan harga komoditi yang stabil.

“Di samping itu, kami percaya kerajaan akan memenuhi kriteria kelayakan WGBI untuk mengelakkan risiko ketidakstabilan modal dan penurunan nilai ringgit,” kata firma penyelidikan itu.

MIDF berkata, sehingga 19 Mac lalu, purata ringgit adalah RM4.09 lebih tinggi berbanding purata 2018 iaitu RM4.03.

Jelasnya, kadar faedah yang lebih rendah cenderung tidak menarik untuk pelabur asing, mengurangkan permintaan
dan nilai relatif mata wang.

Memandangkan faktor lain yang menentukan nilai ringgit seperti politik dan kestabilan dasar masih dalam aliran, firma itu percaya pengurangan kadar faedah bukan langkah yang betul pada masa ini kerana ia akan mengakibatkan penyusutan nilai ringgit. – MalaysiaGazette