Rakaman CRT yang dimuat naik Isham dalam Facebooknya semalam mengundang ketidakpuasan hati peguam PH
Rakaman CRT yang dimuat naik Isham dalam Facebooknya semalam mengundang ketidakpuasan hati peguam PH

KUALA LUMPUR – Tindakan Presiden Sukarelawan Malaysia, Isham Jalil memuat naik rakaman transkrip video perbicaraan Datuk Seri Najib Tun Razak di mahkamah semalam menimbulkan rasa tidak puas hati beberapa peguam pro Pakatan Harapan.

Dalam satu kenyataan hari ini, bekas pegawai khas Najib itu berkata, beliau dimaklumkan, kumpulan peguam berkenaan akan membuat laporan polis terhadapnya.

“Saya telah dimaklumkan terdapat beberapa peguam PH tidak berpuas hati apabila saya memuatnaik rakaman transkrip video Court Recording and Transcription (CRT) dalam perbicaraan Dato’ Seri Najib di mahkamah semalam.

“Peguam-peguam PH ini berkata mereka akan membuat laporan polis.

“Dalam hujah mereka, mereka berkata ini adalah satu kesalahan mengikut peraturan mahkamah dan mereka berkata saya boleh dikenakan tindakan kerana menghina mahkamah atau contempt of court,” katanya menerusi hantaran dalam akaun Facebooknya hari ini.

Beliau yang merupakan bekas pegawai khas Najib bertanya kepada peguam terbabit, di manakah dalam peraturan mahkamah dinyatakan tidak boleh memuatnaik rakaman CRT perbicaraan awam dalam Facebook atau di media sosial atau di mana-mana media?

Untuk pengetahuan mereka, katanya, terdapat dua perkara dalam peraturan umum mahkamah berkaitan rakaman semasa perbicaraan, pertama, tidak boleh membuat siaran langsung atau live telecast ketika perbicaraan sedang berlangsung (kecuali dengan kebenaran), dan kedua, tidak boleh merakam perbicaraan sendiri.

Oleh itu kata Isham, dalam hal berkenaan, beliau ingin bertanya kepada mereka, di balik manakah yang beliau dikatakan bersalah menghina mahkamah seperti yang dikata peguam berkenaan.

“Dalam video yang dimuatnaik semalam, tidak ada siaran langsung mahupun rakaman sendiri. Video itu bukan siaran langsung, tetapi rakaman, dan rakaman tersebut dibuat oleh mahkamah melalui CRT, bukan oleh pihak lain.

“Rakaman CRT mahkamah dan rakaman video sendiri adalah berbeza. Apabila mahkamah merakam transkrip video CRT ianya tidak sama dengan orang lain merakam sendiri prosiding mahkamah,” ujarnya.

Beliau menyatakan, di United Kingdom (UK), rakaman transkrip video CRT prosiding mahkamah dianggap seperti transkrip bertulis dan boleh didapatkan oleh orang ramai secara terbuka daripada Arkib Negara Britain (British National Archive) sepertimana juga transkrip bertulis.

“Perkara ini juga sama di banyak negara-negara maju yang lain, dan di Malaysia setakat ini tidak ada peraturan bertulis berkenaan siaran rakaman transkrip video CRT prosiding mahkamah.

“Saya pelik jika peguam-peguam PH ini tidak faham atau tahu akan hal ini. Saya juga pelik kenapa mereka takut sangat apabila rakyat melihat video rakaman perbicaraan ini.

“Adakah peguam-peguam PH ini tidak mahu rakyat tahu atau lihat sendiri butiran perbicaraan Dato’ Seri Najib?” soal beliau.

Kata Isham, perbicaraan bekas Perdana Menteri itu adalah suatu pendengaran awam (public hearing), oleh itu ianya bukan satu rahsia rasmi, namun satu rekod awam yang terbuka.

Beliau turut menjelaskan, memandangkan kes itu berprofil tinggi dan menarik perhatian umum, rakyat berhak diberi peluang untuk mengikuti perbicaraan berkenaan dengan terbuka atau dengan kekangan yang minimum.

Sebelum ini, ujarnya, ada pemimpin PH yang membocorkan rahsia rasmi kerajaan, tetapi lepas begitu sahaja.

Namun, apabila beliau memuatnaik video perbicaraan awam yang bukan rahsia, mereka tidak senang duduk pula.

“Dahulu semasa Dato’ Seri Najib pergi ke Langkawi mereka buat report polis. Sekarang apabila saya memuatnaik video CRT perbicaraan awam pun mereka hendak buat report polis juga.

“Saya rasa polis pun tahu tindakan orang-orang PH ini adalah dangkal, lemah dan bermotifkan politik semata-mata.

“Saya juga ingin bertanya kepada kerajaan PH dan penyokong mereka termasuk peguam PH ini, jika sebelum ini inkues mendiang Teoh Beng Hock boleh dibuat secara siaran langsung, mengapa perbicaraan Dato’ Seri Najib tidak boleh dibuat secara langsung?” tanya beliau.

Walaupun kes Najib adalah perbicaraan awam dan kes Beng Hock adalah satu inkues, kedua-duanya adalah suatu pendengaran awam yang menarik perhatian umum.

Tambahan lagi, katanya, inkues kematian Beng Hock mempunyai elemen emosi yang lebih tinggi berbanding kes SRC yang melibatkan Najib, oleh itu inkues tersebut sebenarnya mendatangkan lebih banyak risiko jika disiar secara langsung.

Beliau berharap peguam PH menjawab soalan beliau dahulu sebelum membuang masa polis dan mahkamah dengan hujah lemah mereka untuk kepentingan politik semata-mata. – MalaysiaGazette