SPRM

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan membuat rayuan kepada mahkamah tinggi selepas Mahkamah Sesyen Johor Baharu membuat keputusan membebaskan bekas exco kerajaan Johor, Datuk Abd Latif Bandi daripada tuduhan rasuah.

Rayuan itu akan dilakukan dalam tempoh 14 hari seperti yang ditetapkan oleh mahkamah.

“Susulan keputusan Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini melepas dan membebaskan tanpa dipanggil membela diri bekas Exco Johor, Datuk Abd Latif Bandi bersama dua individu lain daripada 37 pertuduhan rasuah serta kes Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) berjumlah lebih RM30 juta, SPRM akan mengemukakan rayuan ke Mahkamah Tinggi hasil perbincangan bersama Timbalan Pendakwa Raya,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Pagi tadi, Abdul Latif, anak lelaki beliau dan seorang perunding hartanah dibebaskan daripada pertuduhan rasuah dan pengubahan wang di Mahkamah Sesyen Johor Bahru.

Hakim Mahkamah Sesyen, Kamarudin Kamsun berkata, pihak pendakwa gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh. – MalaysiaGazette