Marzuki Mohamad
Marzuki Mohamad

KUALA LUMPUR – Nama Dr. Sahruddin Jamal sebagai Menteri Besar Johor yang baharu bukan dikemukakan oleh Datuk Osman Sapian.

Sebaliknya, nama calon menteri besar itu telah disembah maklum oleh Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi sepucuk surat berterikh 13 April 2019 kepada Tuanku Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar.

Sehubungan itu, Pegawai Khas kepada Muhyiddin, Datuk Marzuki Mohamad menyangkal artikel yang ditulis Joceline Tan dalam ruangan Analisis akhbar The Star pada 21 April lalu.

“Fakta yang dikemukakan oleh Joceline dalam tulisannya itu tidak benar. Nama Dr. Sahruddin sebagai calon Menteri Besar Johor tidak dikemukakan oleh Datuk Osman Sapian, bekas Menteri Besar Johor,” katanya dipetik dari tulisan beliau menerusi akaun Facebooknya hari ini.

Kata Marzuki, surat Muhyiddin itu telah dipersembahkan kepada Tuanku Sultan Johor menerusi Setiausaha Kerajaan Negeri Johor.

Mengenai spekulasi bahawa Sultan Johor enggan menerima mengadap Muhyiddin untuk menyembah maklum nama calon menteri besar itu, beliau berkata, Muhyiddin yang juga Menteri Dalam Negeri dalam suratnya kepada Tuanku Sultan Johor telah memohon perkenan untuk mengadap baginda pada satu tarikh lain kerana beliau berada di luar negara.

“Tuanku Sultan Johor telah memperkenankan permohonan Muhyiddin dan menerima beliau mengadap pada 21 April (semalam).

“Apabila mendapat pengesahan mengenai peletakan jawatan Osman, Muhyiddin telah mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk berbincang mengenai calon Menteri Besar Johor yang baharu untuk disembah maklum kepada Tuanku Sultan Johor.

“Tun Mahathir bersetuju supaya Dr. Sahruddin dinamakan sebagai calon (Menteri Besar Johor),” katanya.

Beliau berkata, Muhyiddin kemudian mengadakan pertemuan dengan semua pimpinan parti anggota PH di peringkat pusat dan negeri untuk mendapatkan persetujuan mereka bahawa pengganti Menteri Besar Johor hendaklah daripada PPBM.

Hasil pertemuan itu, ujar beliau, semua pimpinan parti anggota PH mencapai kata sepakat bahawa penggantinya hendaklah daripada PPBM.

Beliau juga telah mengadakan pertemuan dengan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ahli Parlimen dan Ketua-Ketua Bahagian PPBM Johor.

“Dalam pertemuan itu, semua yang hadir telah bermuafakat untuk menerima siapa sahaja yang dinamakan oleh pucuk pimpinan parti sebagai Menteri Besar Johor yang baharu.

“Perbincangan awal juga telah diadakan dengan pihak Istana Johor dan Kerajaan Negeri Johor untuk memastikan peralihan kepimpinan kerajaan Johor berjalan dengan lancar.

“Alhamdulillah, walaupun wujud desas-desus mengenai ketegangan hubungan antara pihak Istana Johor dan Kerajaan Persekutuan, namun berkat kebijaksanaan Tuanku Sultan Johor dan pucuk pimpinan PH, peralihan kepimpinan kerajaan Johor berjalan lancar dan sempurna,” katanya.

Katanya, tidak seperti digambarkan dalam tulisan Joceline Tan, Muhyiddin adalah antara tokoh yang memainkan peranan utama dalam proses peralihan itu.

Ujar beliau, sebagai ketua de facto PH Johor, beliau telah dipertanggungjawabkan oleh Dr. Mahathir untuk menangani isu peralihan kepimpinan kerajaan negeri Johor dengan baik.

“Tanggungjawab ini telah dilaksanakan dengan sempurna oleh Muhyiddin,” katanya yang merupakan bekas Setiausaha Politik kepada Muhyiddin ketika memegang jawatan Menteri Pendidikan sebelum ini.

Marzuki menjelaskan, apa yang berlaku ini adalah hasil persefahaman dan kerjasama baik yang diterima daripada pihak Istana Johor, kerajaan negeri dan seluruh pimpinan parti anggota PH di peringkat negeri serta pusat.

“Ahli-ahli parti juga telah bertindak secara matang dan tenang dalam melalui proses peralihan ini,” katanya.- MalaysiaGazette