Anggota polis memeriksa kawasan di sekitar sebuah gereja selepas serangan bom dilakukan di Sri Lanka yang menyebabkan 290 maut. foto Agensi

COLOMBO – Perintah berkurung di Sri Lanka telah ditarik balik sehari selepas 290 orang terbunuh dan kira-kira 500 orang cedera dalam serangan bom di beberapa gereja dan hotel mewah semasa sambutan Easter Sunday.

Setakat ini belum ada sesiapa yang mengaku melakukan serangan tersebut di dua buah gereja dan empat hotel di sekitar Colombo.

Penarikan balik perintah itu dilaksanakan oleh kerajaan pada awal hari ini meskipun penduduk masih tidak lagi berani untuk keluar.

Tentera dengan senjata automatik kelihatan memantau kawasan hotel-hotel utama dan di Pusat Dagangan Dunia di kawasan perniagaan, yang mana menyaksikan empat hotel menjadi sasaran serangan semalam.

Beribu-ribu orang yang terkandas di lapangan terbang mula bergerak selepas perintah itu ditarik balik.

Selain melaksanakan perintah berkurung, kerajaan juga menyekat akses sosial media termasuk menerusi Facebook dan Whatsapp.

Rakyat tempatan didakwa antara mangsa paling ramai terbunuh dalam kalangan 290 kematian yang direkodkan, manakala 32 orang lagi adalah warga asing.

Ia termasuk British, Amerika Syarikat, Turki, India, China, Denmark, Belanda dan Portugis. – MalaysiaGazette