Tan Sri Muhyiddin Yassin pada sidang media mengumumkan penubuhan pasukan khas bagi mengatasi masalah nelayan asing di Putrajaya.

PUTRAJAYA – Sebuah pasukan khas ditubuhkan bagi mengatasi masalah nelayan warga Vietnam yang menceroboh perairan negara untuk menangkap hasil laut.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan itu dibuat selepas Kabinet mengadakan perbincangan mengenai perkara tersebut hari ini.

Menurutnya, beberapa Kementerian dan juga agensi kerajaan terlibat dalam penubuhan pasukan khas itu yang akan turut melibatkan aset-aset ketenteraan.

Antara yang akan terlibat dalam menggerakkan pasukan khas itu ialah Kementerian Dalam Negeri (KDN), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Kementerian Luar Negeri, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Perikanan, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen.

“Isu tentang pencerobohan nelayan asing di perairan Malaysia telah membawa kesan agak besar terhadap nelayan tempatan dan ini dibawa oleh Menteri Pertanian, Datuk Salahuddin Ayub.

“Kabinet buat keputusan kita tubuhkan sebuah pasukan petugas khas untuk tangani masalah ini dengan segera kerana disebabkan oleh apa yang telah dilakukan oleh nelayan asing dari Vietnam ini maka nelayan tempatan hadapi masalah mendapatkan cari makan dan sebagainya,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Hadir sama pada sidang media itu, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub dan Timbalan Menteri Pertahanan, Senator Liew Chin Tong.

Muhyiddin berkata, pasukan yang ditubuhkan itu akan diketuai oleh pihak KDN dan segala kelekapan mobilisasi akan digunakan untuk menjayakan usaha tersebut.

Tambahnya, beliau berharap dengan wujudnya pasukan khas itu ia akan dapat menyelesaikan masalah yang berlaku sekaligus mengembalikan hasil laut negara kepada nelayan tempatan.

Dalam pada itu, Salahuddin pada sidang media sama berkata, negara kehilangan pendapatan menerusi hasil tangkapa laut sebanyak RM6 bilion setahun akibat daripada aktiviti pencerobohan haram yang berlaku.

Katanya, Kementerian Pertanian tidak pernah memberikan sebarang lesen atau permit kepada pihak asing untuk menjalankan aktiviti menangkap ikan diperairan negara.

“Mungkin ada penyelewengan dimana mereka guna lesen-lesen tertentu. Jika ikut statistik tahun 2019 ini sahaja sebanyak 26 tangkapan dilakukan. Tapi bila ia jadi serius Kabinet putus untuk buat perkara ini,” ujarnya.

Sementara itu, Chin Tong turut menegaskan bahawa kementeriannya menyokong langkah penubuhan pasukan khas berkenaan dan bersedia mengeluarkan segala aset ketenteraan yang diperlukan serta bertindak secara menyeluruh. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan