Datuk Seri Wee Ka Siong
Wee Ka Siong

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan didakwa telah menggantung siasatan 1Malaysia Development Berhad oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) meskipun majoriti Ahli Parlimen telah pun bersetuju supaya ia dibuka semula pada bulan Ogos tahun lepas.

Malah, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong mendakwa kerajaan juga tidak menyiarkan laporan audit khas berkaitan 1MDB yang dijalankan oleh Pricewaterhouse Coopers (PwC) walaupun sudah lengkap pada Ogos 2018, sedangkan ia pernah dijanjikan oleh Menteri Kewangan.

Di samping itu, menurutnya, kerajaan PH juga telah membatalkan perjanjian penyelesaian antara syarikat Abu Dhabi, International Petroleum Investment Company (IPIC) kerana menunjukkan ada klausa menyatakan IPIC perlu membayar semula wang yang dikatakan hilang dari 1MDB sebelum 31 Disember 2020.

Apabila kerajaan PH mengumumkan pembatalan tersebut dan mengatakan bahawa mereka tidak akan membayar hutang IPIC, syarikat Abu Dhabi itu dengan segera mengeluarkan kenyataan menegaskan bahawa 1MDB tidak berhutang apa-apa wang kepada IPIC.

Kerajaan PH bagaimanapun enggan mengulas kenyataan IPIC tersebut.

Presiden MCA itu menambah, pembatalan berlaku pada Ogos 2018 dan sehingga hari ini, tidak kedengaran sebarang berita berhubung apa yang berlaku pada rundingan dengan IPIC.

“Mereka yang mengikuti kes 1MDB ini pastinya sedar bahawa sebahagian besar wang yang dikatakan hilang itu timbul selepas pemindahan aset yang dijamin oleh pihak pengurusan IPIC.

“Justeru itu, bagi mendapatkan semula wang yang dikatakan hilang itu maka kerajaan PH terpaksa mengaitkannya dengan IPIC.

“Namun, sudah hampir setahun PH ambil alih tampuk pemerintahan, kita masih belum mendengar sebarang berita mengenai usaha serius kerajaan PH memburu IPIC,” katanya dalam satu kenyataan.

Pihak berkuasa turut mempersoalkan bekas pengurusan tertinggi IPIC yang dikatakan memasukkan duit 1MDB ke dalam akaun mereka dan menggunakannya.

“Kenapa tiada tindakan dikenakan PH terhadap IPIC dan bekas pengurusannya?,” soal Ka Siong. – MalaysiaGazette