Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak

KUALA LUMPUR – Saksi ke-37, Datuk Dr Shamsul Anwar Sulaiman berkata, beliau diberi kepercayaan oleh Datuk Seri Najib Razak untuk memegang jawatan Pengarah Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berdasarkan pengalamannya yang begitu luas dalam bidang kebajikan.

Katanya, bekas perdana menteri itu mahu beliau melaksanakan kerja-kerja kebajikan termasuk membantu golongan miskin serta kanak-kanak kurang bernasib baik.

Saksi yang turut mengakui mengenali Najib selama puluhan tahun ketika beliau masih lagi bergelar doktor dan bekerja dengan kerajaan juga mendedahkan pernah terlibat dalam kerja-kerja kebajikan berkaitan dengan FELDA, BAKTI termasuk ketika Allahyarham Datin Seri Endon masih hidup.

Jelas Shamsul Anwar, Najib telah memintanya untuk menumpukan perhatian dalam membantu membina dan membaik pulih rumah-rumah rakyat miskin pada tahun 2010.

“Bagi Najib, saya adalah calon yang sesuai untuk membantunya melakukan kerja-kerja kebajikan bukan sahaja kerana pengalaman luas dalam bidang ini sebaliknya juga latarbelakang saya sebagai doktor.

“Saya juga mempunyai hubungan baik dengan ramai, itu antara sebabnya mengapa apabila saya dilantik sebagai Pengarah Eksekutif 1MDB, saya telah diletakan dalam bahagian kerja-kerja tanggungjawab sosial (CSR).

“Saya juga pernah melaksanakan projek baik pulih rumah di Tenang, Johor yang juga merupakan projek pertama saya dengan peruntukan sebanyak RM1 juta. Saya berjaya membaik pulih 50 rumah usang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ketua Pasukan Pembelaan, Tan Sri Shafee Muhamad petang tadi.

Shafee banyak bertanyakan tentang latarbelakang beliau yang mempunyai kelulusan dari Belgium sebelum memulakan tugasnya sebagai doktor pada tahun 1988 sehingga 2008 dan kemudian beralih arah ke dunia kebajikan secara sepenuh masa.

Selepas itu, Shamsul Anwar berkata, Pengarah Urusan 1MDB pada masa itu, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi telah memintanya menubuhkan syarikat lain yang khusus  untuk kerja-kerja CSR di bawah 1MDB supaya tidak bercanggah.

Terdahulu ketika disoal, Shamsul Anwar turut mendedahkan beliau telah disiasat sebayak lapan kali, empat kali sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 dan selebihnya selepas bertukar kerajaan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau juga pernah ditahan reman selama empat malam dalam lokap SPRM dan diberitahu telah ditangkap atas kesalahan melakukan pemindahan sebanyak RM42 juta ke akaun milik Najib.

“Saya dituduh bersubahat melakukan pemindahan ke akaun peribadi Najib,” katanya.

Prosiding kemudian ditangguhkan. –MalaysiaGazette