Pelajar yemen parah di kepala dan paru paru dimasukkan di HKL selepas terlibat kemalangan dengan toyota Hilux pada kejadian awal pagi hari ini.

KUALA LUMPUR – Seorang pelajar Yemen berusia 26 tahun parah pada kepala dan paru-paru sebelah kanan selepas terlibat dalam kemalangan enam kenderaan dalam kejadian awal pagi tadi.

Kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 3.20 pagi hari ini di Persimpangan Lampu Isyarat Jalan Genting Klang, Setapak melibatkan dua kereta dan empat motosikal yang dihentikan di simpang jalan itu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kenderaan jenis Toyota Hilux warna perak yang dipandu seorang mekanik berusia 30 tahun, Cheong Chee Sum sedang dalam perjalanan dari pusat bandar menuju ke Ampang.

Manakala pelajar Yemen yang tinggal di Taman Sains Selangor, Kota Damansara memandu kereta Hyundai warna emas menuju dari arah Ampang ke Danau Kota.

“Apabila sampai di persimpangan lampu isyarat, kedua-dua kenderaan itu tidak berhenti lalu berlaku perlanggaran.

“Kedua-dua pemandu telah bergerak berpusing menyebabkan Toyota Hilux telah melanggar bahagian sisi kiri kereta pelajar Yemen itu.

“Akibat perlanggaran tersebut, Hyundai yang dipandu pelajar itu terbabas ke hadapan di atas pembahagi jalan arah ke Ampang sementara Hilux yang dipandu mekanik telah berpusing sebelum terbabas di laluan ke arah Danau Kota dan melanggar empat lagi motosikal jenis Yamaha Y125ZR (tiga kuning dan sebuah biru) yang dihentikan di persimpangan lampu isyarat,” katanya dalam kenyataan menerusi WhatsApp kepada pemberita sebentar tadi.

pelajar yeman1
Kemalangan dua kereta dan empat buah motosikal di persimpangan lampu isyarat Jalan Genting Klang pagi tadi menyebabkan pelajar Yemen parah, dua penunggang motosikal cedera di pinggang dan tangan terseliuh sebelum dirawat di HKL.

Akibat perlanggaran itu, ujar beliau, pemandu pelajar Yemen itu mengalami kecederan parah pada kepala dan paru-paru dan sedang dirawat di zon merah Hospital Kuala Lumpur manakala Mekanik itu terselamat tanpa sebarang kecederaan.

Menurutnya, dua penunggang motosikal Yamaha Y125 ZR pula, Siti Nur Amira Che Noh, 19, terseliuh tangan kanan manakala seorang lagi penunggang motosikal Yamaha, Muhammad Hafizh Hazim Md Hisham, 20, dari Kajang mengalami kecederaan di pinggang dan kesemuanya dirawat di hospital yang sama.

Tempat kejadian merupakan jalan bandaran mempunyai empat lorong sehala. Semasa kejadian cuaca baik, jalan kering dan berlaku pada waktu malam berlampu.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan polis sedang mencari saksi bebas yang melihat kejadian kerana kedua dua pihak mendakwa ketika kejadian lampu isyarat menunjukkan lampu hijau, pegawai penyiasat sedang mengesan saksi bebas,” katanya. – MalaysiaGazette