Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim
KUALA LUMPUR – Dua pegawai polis berpangkat inspektor selain lima anggota ditahan bagi membantu siasatan membabitkan satu kes samun seorang ahli perniagaan Ahad lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim dalam satu kenyataan hari ini berkata, dua inspektor berkenaan iaitu seorang dari Maktab Teknik PDRM, Muar manakala seorang lagi pegawai dari Bahagian Narkotik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya serta lima anggota lain iaitu seorang dari IPD Petaling Jaya, tiga dari Balai Polis Sea Park dan seorang dari Balai Trafik, Jalan Bandar.

“Mereka ditangkap pada 20 Mei dan direman selama empat hari bermula pada 21 hingga 24 Mei ini. Turut ditahan, empat lelaki termasuk seorang kakitangan Bank Negara Malaysia (BNM) yang ditangkap pada 21 Mei pula akan dibuat permohonan reman pada 22 Mei ini,” katanya.

Beliau berkata kesemua suspek berusia dalam lingkungan 31 hingga 41 tahun dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan 170 Kanun Keseksaan.

Mazlan menjelaskan, kes ini merupakan susulan daripada seorang lelaki yang merupakan ahli perniagaan yang membuat laporan polis pada 4.40 petang Ahad lepas.

Lelaki berkenaan menyatakan terdapat sembilan individu telah datang dan memperkenalkan diri sebagai pegawai polis Bukit Aman dari Bahagian Jenayah Perdagangan dan pegawai BNM serta mendakwa pengadu menjalankan kegiatan pengurup wang tanpa lesen perniagaan di premis perniagaannya di Jalan Silang.

Dalam kejadian itu, pengadu turut mendakwa dirinya dan empat orang pekerjanya telah digari selain telefon lelaki terbabit telah diambil serta wang tunai berjumlah RM4,000 yang disimpan di dalam peti simpanan juga dirampas.

Selain itu, Mazlan menjelaskan, suspek juga telah meminta wang berjumlah RM200,000 sekiranya pengadu mahu dilepaskan dan akibat ketakutan atas ugutan tersebut, pengadu telah menyerahkan wang yang diminta suspek.

Mazlan berkata, pihaknya memandang serius kes ini dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai dan anggota PDRM termasuk orang awam yang terlibat dalam sebarang perlakuan jenayah.

“Mereka yang didapati bersalah akan dikenakan tindakan undang-undang yang setimpal dengan kesalahan yang dilakukan,” katanya.

— BERNAMA

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here