Kenyataan Maulizan terhadap Presiden UMNO bukan mewakili suara akar umbi.
Kenyataan Maulizan terhadap Presiden UMNO bukan mewakili suara akar umbi.

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Tebrau mengambil ketetapan untuk tidak bersetuju dengan kenyataan Ketua Bahagian, Datuk Maulizan Bujang berkenaan gesaannya terhadap presiden supaya tidak kembali menyertai parti.

Ketuanya Fauzi Faizal berkata, kenyataan itu adalah sebagai langkah politik peribadi Maulizan, bukan mewakili keseluruhan suara akar umbi UMNO Bahagian itu.

Bagi beliau dan seluruh ahli sayap parti, tidak ada keperluan untuk mana-mana pihak dalam UMNO mengganggu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang sedang bercuti dari jawatan Presiden.

Katanya, Ahmad Zahid telah pun menyerahkan tugas presiden kepada Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hassan sejak Disember lalu dan kepimpinan UMNO bawah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau itu berjalan dengan baik dan lancar.

“Malah pada ketika ini isu kedudukan presiden ataupun peribadi Ahmad Zahid tidak menjadi masalah besar bagi UMNO sehingga perlu melakukan provokasi jahat menghasut dan memecahbelahkan perpaduan dalam parti.

“Bahkan, UMNO kini sedang dalam fasa kebangkitan dari kecelaruan kepimpinan selepas kekalahan dalam pilihan raya umum dan juga pemilihan UMNO.

“Kenyataan provokasi seperti ini hanya akan menyebabkan UMNO kembali ke fasa kecelaruan kepimpinan, bukan maju ke hadapan,” katanya.

Sabtu lepas, Maulizan menerusi kenyataan medianya mahu Ahmad Zahid melepaskan jawatannya sebagai Presiden UMNO, kononnya demi kemaslahatan parti itu.

Beliau dilaporkan berkata, Ahli Parlimen Bagan Datoh itu tidak perlu kembali menjalankan tugas sebagai presiden, sebaliknya terus bercuti dan membiarkan parti dikemudi oleh pemimpin yang mampu memberikan nafas baru.

Mengulas lanjut berhubung perkara itu, Fauzi menyatakan, fokus utama Ketua Bahagian adalah memberi khidmat bakti kepada rakyat di Tebrau agar UMNO kekal relevan dan kuat untuk menentang musuhnya dari Pakatan Harapan (PH).

Fauzi turut mencadangkan beberapa isu yang harus Maulizan perjuangkan di media iaitu tekanan yang diberikan kepada Istana Johor, isu ketua kampung lantikan PH di Parlimen Tebrau, penggunaan balai raya yang dihalang oleh PH di kawasan itu terutama DUN Puteri Wangsa.

“Maulizan juga perlu tumpukan kepada isu perpecahan team dalam PPBM Johor yang melibatkan adiknya, ADUN Puteri Wangsa, Datuk Mazlan Bujang yang merupakan bekas Exco Kerja Raya serta pegawainya.

“Malah, banyak lagi yang harus ditumpukan antaranya masalah tempatan di DUN Puteri Wangsa dan Tiram, isu nasional seperti matrikulasi, Statut Rom, hutang negara meningkat, penjualan aset dan lain-lain,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa ketuanya agar menghentikan daripada menggunakan media untuk menyampaikan naratif politik peribadi kerana itu tindakan tidak bertanggungjawab. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here