Datuk Seri Anwar Ibrahim
Pengerusi Kaukus Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) bercakap kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Parlimen di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 28 MEI 2019

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) disaran melantik pengerusi dan ahli Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) baharu dengan segera susulan jawatan itu telah dikosongkan beberapa bulan lalu.

Pengerusi Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Dewan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini kerana pelantikan yang tertangguh itu tidak memberi gambaran positif kepada kerajaan hari ini.

“Kita ambil maklum bahawa pengerusi Suhakam sekarang kosong, oleh yang demikian kita cadangkan supaya kerajaan memberikan pertimbangan untuk menyegerakan pelantikan baharu.

“Pelantikan pengerusi dan ahli Suhakam yang baharu ini perlu memenuhi peranan, sikap dan citarasa Kerajaan PH sekarang.

“Hal ini telah tertangguh beberapa bulan dan ini tidak memberikan gambaran yang sangat positif,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Dewan Rakyat di bangunan Parlimen, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Tan Sri Razali Ismail meletakkan jawatan sebagai pengerusi Suhakam dua minggu lebih awal sebelum tempoh tugasnya berakhir.

Beliau yang memegang jawatan pengerusi sejak 2016 sepatutnya mengakhiri tempoh tugas selama tiga tahun pada 27 April lalu. – MalaysiaGazette