Tommy Thomas
Tommy Thomas

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu memecat serta-merta Peguam Negara, Tommy Thomas susulan tindakannya menarik peguam  mengendalikan inkues kematian Allayarham Muhammad Adib Mohd Kassim tanpa alasan munasabah.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (JUHAM), Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM), Wan Rohimi Wan Daud mendakwa, Tommy telah membuat keputusan tambahan itu untuk menutup kelemahannya sendiri.

Malah, beliau dilihat melengkap siri-siri kelemahan dirinya dalam membantu pentadbiran keadilan di negara ini.

“Justeru tiada pilihan yang lebih baik, melainkan Tommy Thomas dipecat serta-merta daripada jawatan tersebut,” tegasnya dalam satu kenyataan kepada media.

 

Wan Rohimi Wan Daud
Wan Rohimi Wan Daud

Wan Rohimi berkata, alasan yang diberikan oleh Tommy kononnya peranan aktif peguam, Syazlin yang sentiasa mengambil pendirian yang bertentangan dengan Pegawai Pengendali inkues tentang teori kematian Adib dan menyebabkan “keaiban” sebagai Peguam KPKT, hanyalah alasan lemah yang tidak sejajar dengan prinsip undang-undang berkenaan pengendalian sesuatu inkues.

Katanya, perkara itu telah menyebakan sekali lagi Tommy teraba-raba dalam mencari titik sempadan antara sifat prosiding inkues dan perbicaraan jenayah.

“Sepatutnya, ketekunan dan kerja-keras serta peranan aktif yang dimainkan oleh peguam Syazlin untuk mengemukakan teori alternatif bagi kematian Adib, dengan mengemukakan bukti yang sangat kredibiliti melalui keterangan Prof Dr Shahrum Abd Wahid, perlu disanjung dan dipampas dengan sewajarnya kerana usaha keras itu akan dapat membantu Koroner membuat pertimbangan yang lebih menyeluruh serta dapatan fakta yang lebih adil bagi menepati maksud sebenar kenapa inkues perlu dijalankan.

“Amat malang lagi, alasan keempat yang dikemukakan oleh Peguam Negara tentang status Peguam Syazlin selaku isteri kepada Pegawai Akhbar Menteri KPKT, tanpa apa-apa penjelasan lanjut, hanya menyerlahkan niat serong untuk memperlekehkan peribadi Peguam Syazlin dan meletakkan denai pembunuhan karektor yang sangat tidak wajar dan tidak beretika.

“Mustahil keseluruhan Jabatan Peguam Negara tidak mengetahui hubungan ini seawal Peguam Syazlin dilantik mewakili KPKT?

“Apakah kaitan hubungan suami isteri Setiausaha Akhbar Menteri dengan kepentingan prosiding inkues Adib?” soalnya.

Tambah beliau, berdasarkan keseluruhan naratif tersebut, DPPM berpandangan bahawa tindakan Tommy menamatkan khidmat Peguam yang sedang mengendalikan prosiding inkues yang sudah berada pada penghujungnya sebagai cuba menutup kelemahan sendiri dan beliau harus dipecat daripada jawatanya. – MalaysiaGazette