OLDENBURG – Seorang lelaki yang bertopengkan perwatakan lembut serta sopan akhirnya mengejutkan masyarakat umum apabila didapati melakukan pembunuhan kejam ke atas 85 orang di bandar Oldenberg, Jerman.

Japan Times melaporkan lelaki berkenaan yang merupakan seorang jururawat di sebuah hospital membunuh pesakit hospital berkenaan antara tahun 2000 hingga 2005 sebelum ditangkap.

Disifatkan sebagai antara pembunuh bersiri paling kejam di negara itu, Niels Hoegel, 42 mendedahkan dirinya sangat teruja untuk membunuh dan memilih kerjaya itu bagi membolehkannya memberi suntikan maut kepada para pesakit hospital.

Dia yang telah dipenjarakan sejak sedekad lepas atas kesalahan melakukan enam pembunuhan sebelum siasatan mendapati mangsa lelaki itu sebenarnya jauh lebih ramai.

Hoegal akhirnya dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan tidak dibenarkan parol.

Hakim Sebastian Buehrmann menyifatkan tabiat membunuh Hoegel sebagai tidak boleh diterima langsung, malah terdapat keluarga mangsa yang tidak mendapat pengadilan kerana terlampau banyak persoalan tidak terjawab.

Pihak berkuasa juga telah menggali semula kubur dan melakukan semula bedah siasat lebih 130 mayat bagi menyokong kes pendakwa raya.

Menurut pertuduhan polis, bilangan mangsa mencecah sehingga 200 orang.

Lebih menyedihkan apabila mahkamah tidak dapat memberi bilangan mangsa yang tepat kerana Hoegel mengaku ada mangsa yang telah dibakar sebelum bedah siasat dilakukan.

Malah Hoegel tidak dapat ingat mangsanya sehingga menyukarkan pihak berkuasa menyiasat.

Namun apa yang dilakukan oleh pembunuh bersiri itu dianggap sesuatu yang di luar jangkauan imiginasi manusia kerana ia dilakukan tanpa rasa bersalah. – MalaysiaGazette