Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan harus terlibat dalam pembinaan rumah mampu milik jika ia mahu mengekang kenaikan harga rumah.

Timbalan Presiden Persatuan Pemaju Hartanah Dan Perumahan Malaysia (Rehda), Datuk Khor Chap Jen berkata, jika pemaju swasta memikul tanggungjawab pembinaan rumah mampu milik, kos yang ditanggung mereka pasti akan dialihkan kepada orang ramai termasuk pembeli kediaman lebih mewah.

Keadaan itu, menurut Chap Jen, akan menghampakan kerajaan apabila harga rumah tidak menurun seperti yang diharapkan.

Beliau berkata, kerajaan telah melaksanakan beberapa langkah positif termasuk polisi yang dapat menyumbang dan merangsang kemajuan pasaran hartanah.

“Walaupun begitu, disebabkan oleh perang perdagangan antara Amerika Syarikat dan China, kami menjangkakan keadaan akan lebih mencabar buat sektor hartanah.

“Saya tidak melihat sebarang tanda pemulihan yang menonjol dalam sektor ini,” katanya kepada Sinchew Daily.

Tambahnya, pengurangan kadar faedah oleh Bank Negara juga tidak memberi kesan signifikan kepada pasaran.

Mengenai pasaran luar negara, Chap Jen  yang juga Ketua Pegawai Eksekutif SP Setia Berhad berkata, syarikatnya berharap dapat memasuki pasaran Jepun tahun ini.

Beliau berkata, projek yang dirancang di negara matahari terbit itu masih menunggu lampu hijau daripada pihak berkuasa.

SP Setia pada masa ini sudah meluaskan sayap perniagaannya ke Singapura, Vietnam, Australia, China dan United Kingdom. – MalaysiaGazette