UTTAR PRADESH – Angkara dendam kerana tidak mampu membayar hutang sebanyak 10,000 rupee (RM600), seorang kanak-kanak bukan sahaja dibunuh tanpa belas kasihan sebaliknya mayatnya juga dibuang dalam tong sampah di Aligarh, dekat sini.

NDTV melaporkan, kanak-kanak itu dibunuh oleh dua orang lelaki yang tidak tahan ‘dihina’ selepas gagal melunaskan baki hutang sebanyak 10,000 daripada 50,000 rupee yang dipinjamkan kepada mereka.

Kedua-dua suspek yang berjaya ditangkap dikenali sebagai Zahid dan Aslam, sangat mengenali keluarga kanak-kanak malang itu.

Mereka dipercayai telah mencekik, memotong serta mematahkan beberapa anggota badan mangsa.

Tindakan kejam itu sebagai balas dendam rasa tidak puas kerana seringkali dipaksa membayar hutang oleh datuk kanak-kanak malang tersebut.

Kedua-dua suspek dikatakan bertindak menculik mangsa sebelum membunuh dengan kejam dan dibuang dalam tong sampah sebelum ditemui semalam.

Pihak polis juga ketika ini dipercayai sedang menyiasat seandainya kanak-kanak itu telah dicabul atau rogol pada masa sama.

Bedah siasat masih lagi di jalankan.

Mayat kanak-kanak itu ditemui dalam tong sampah, beberapa kilometer dari rumahnya.

Pihak berkuasa masih lagi menjalankan siasatan dan laporan penuh akan dibuat dalam masa terdekat.

Ada juga cerita-cerita kurang enak yang di sebarkan oleh keluarga terdekat dan penduduk setempat kononnya mata kanak-kanak itu telah di korek keluar, bagaimanapun polis menafikan dakwaan tersebut.

Kata polis mayatnya tersebut semakin reput dan menyukarkan proses bedah siasat kerana telah di bunuh beberapa hari lepas sebelum ditemui.

Insiden ini juga menyebabkan rata-rata penduduk India terkejut dan melahirkan rasa kecewa dengan kejadian sebegini yang kerapkali berlaku.

Ada juga yang menyalahkan sistem perundangan yang tidak menggerunkan terhadap pesalah di negara itu sehingga perbuatan seperti ini begitu kerap terjadi, sekali gus menunjukkan manusia semakin hilang pertimbangan dan tidak berperikemanusiaan. –MalaysiaGazette