Bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International, Tan Sri Ismee Ismail hadir pada perbicaraan kes dana milik syarikat SRC International Sdn Bhd di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 11 JUN 2019.

KUALA LUMPUR – Bekas ahli Lembaga Pengarah SRC International Sdn Bhd, Tan Sri Ismee Ismail mendedahkan sumber kewangan SRC adalah daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) dan geran permulaan sebanyak RM20 juta daripada kerajaan.

Malah saksi ke-39 itu berkata, syarikatnya juga pernah menerima pinjaman RM4 bilion daripada KWAP ketika dirinya masih lagi memegang jawatan di situ.

Ismee berkata demikian kepada Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ishak Mohd Yusoff ketika pemeriksaan utama pada perbicaraan kes SRC International yang dihadapi Datuk Seri Najib Razak di Mahkamah Tinggi di sini sebentar tadi.

Jelas Ismee kesemua sumber kewangan yang diberikan itu kemudian digunakan untuk pelaburan dan modal kerja bagi syarikat SRC dengan dirujuk kepada ‘Penasihat Emiratus’ terlebih dahulu.

Ishak: Siapa Penasihat Emeritus SRC yang kamu maksudkan itu?

Ismee: Datuk Seri Najib Razak yang juga Perdana Menteri ketika itu.

Ishak: Adakah Penasihat Emeritus mempunyai kawalan dalam aspek pentadbiran Lembaga Pengara SRC dan syarikat?

Ismee: Seharusnya ada kawalan. Sebarang perkara membabitkan hal material dan strategik syarikat juga akan dirujuk kepada Penasihat Emiritus.

Ismee berkata demikian di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali sebentar tadi.

Dalam pada itu, Ismee juga mendedahkan Ketua Pegawai Eksekutif SRC, Nik Faisal Ariff Kamil telah dilantik atas arahan Najib dan dipersetujui oleh Lembaga Pengarah. 

Beliau juga mendedahkan Najib telah bertindak menambah klausa dalam perlembagaan SRC International dalam mesyuarat agung luar biasa (EGM) sehingga membolehkan dirinya menjawat ‘Penasihat Emiratus’ ketika itu.

Ismee menerangkan pindaan itu juga tidak langsung memberi kuasa kepadanya untuk mengawal syarikat itu yang terletak di bawah Kementerian Kewangan (Diperbadankan). –MalaysiaGazette