Bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International, Tan Sri Ismee Ismail hadir pada perbicaraan kes dana milik syarikat SRC International Sdn Bhd di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 11 JUN 2019.

KUALA LUMPUR – Saksi ke-39, bekas Ahli Lembaga Pengarah SRC International, Tan Sri Ismee Ismail mengaku tidak boleh mengesahkan ‘ketulenan’ minit mesyuarat pada 7 September 2011 sebaliknya hanya menjawab tidak pasti.

Beliau berkata demikian ketika disoal tentang minit mesyuarat antara bekas Perdana Menteri dan Pengarah SRC International, Nik Faisall Ariff Kamil yang didedahkan oleh Ismee dalam keterangannya semalam.

Peguam bela, Harvinderjit Singh juga di lihat menyoal Ismee secara bertubi-tubi  sehingga menyebabkan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V Sithambaram bangkit mempersoalkan kelakuan beliau.

“Henti ‘potong’ saksi. Kamu patut berinya peluang untuk bercakap dan beri keterangan, ini sebelum sempat dia jawab soalan kamu, kau sudah lompat ke soalan lain. Bagilah dia jawab dulu,” bidasnya.

MGF08052019_NAJIB MAHKAMAH04

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali kemudian memerintahkan Harvinderjit membiarkan saksi menjawab soalan tersebut.

Terdahulu, Harvinder turut bertanya tidakkah ‘pelik’ untuk setiausaha syarikat (SRC International) menyediakan minit mesyuarat sehingga hampir enam hari bagi kegunaan mesyuarat Lembaga pada 13 September 2011.

Ismee mengakui perkara itu sambil mengatakan selalunya beliau mengarahkan minit mesyuarat disediakan dalam tempoh kurang 72 jam.

“Tidakkah sesuatu yang luar biasa untuk mengambil minit mesyuarat antara dua orang dalam satu pertemuan?” soal Harvinderjit lagi.

Ismee cuba mengatakan perkara itu memang bukan satu amalan biasa namun Harvinderjit berkali-kali cuba memotongnya dengan mendakwa saksi tidak menjawab soalannya.

“Memang ianya bukan amalan biasa tetapi tetapi apabila membabitkan Perdana Menteri, ianya luar biasa,” kata Ismee lagi.

Harvinderjit kemudian menyambung soal balasnya dengan bertanyakan tentang penyertaan Najib dalam mesyuarat Lembaga Pengarah bagaimanapun Ismee mengakui sehingga beliau meletak jawatan, tidak ada sekalipun Najib duduk semeja dalam mesyuarat berkenaan. – MalaysiaGazette