Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki bercakap pada sidang media selepas Mesyuarat Exco Pergerakan Pemuda UMNO di Bilik Mesyuarat Tingkat 38, Menara Datuk ONN, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 20 JUN 2019

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO tidak akan terjebak dengan permainan budaya politik picisan kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH).

Sebaliknya, sayap parti itu memberi fokus kepada perkara yang menyentuh keperluan dan permasalahan kehidupan seharian rakyat.

Ketua Pemudanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, rakyat sedang merasai keperitan berkaitan isu kos sara hidup dan ekonomi di bawah kerajaan baharu.

“Sebab itu kita nak tekankan Pergerakan Pemuda UMNO akan fokus soal keperitan rakyat dan tidak akan terjebak dengan sketsa permainan budaya politik picisan seperti mana saya sarankan beberapa kali sebelum ini.

“Amat mendukacitakan dan rasa begitu kesal dengan timbulnya video yang dikaitkan dengan menteri kabinet PH dan ini telah memalukan kita seolah-olah budaya politik Malaysia begitu hodoh sekali dengan adanya penyebaran ini,” katanya dalam sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.

Terdahulu Asyraf Wajdi yang mempengerusikan mesyuarat bulanan yang kelima pergerakan itu melibatkan seramai 35 exco pimpinan tertingginyan selama dua setengah jam.

Menurutnya, apa yang berlaku hanya permainan pergolakan politik dalaman yang tidak berkait rapat dengan UMNO dan tidak mahu terlibat dalam hal sedemikian.

“Sebaliknya, kita akan berfokus kepada pelbagai isu yang dihadapi rakyat ketika ini paling penting kerajaan PH harus kita tumbangkan demi memelihara kesejahteraan rakyat, agama dan asas kerangka perlembagaan yang terbina supaya terus dipertahankan.

“Pendirian UMNO jelas iaitu kami tidak mahu dikaitkan dengan mana-mana kem yang hari ini sedang bergolak dalam kerajaan samaada kem Tun Dr. Mahathir Mohamad atau Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Pemuda UMNO konsisten seperti ditetapkan dalam Perhimpunan Agung UMNO lalu, tidak akan rela parti ini terjebak dengan perundingan pintu belakang untuk menjadi kerajaan semula,” ujarnya.

Justeru katanya UMNO parti bermaruah yang komited berdepan realiti kehendak rakyat setelah ‘dihukum’ pada PRU-14.

Menurutnya, UMNO dalam proses bangkit semula dengan satu perubahan yang positif berasakan apa dikehendaki rakyat dan juga berhadapan PH dalam PRU-15.

“Banyak kelemahan demi kelemahan dan pelbagai perkara yang dilakukan PH sejak membentuk kerajaan Mei lalu yang merugikan rakyat yang perlu diperjuangkan oleh Pergerakan Pemuda UMNO.

“Sebab itu telah sepakat hati, setiap exco pemuda sudah diberikan portfolio berdasarkan kementerian dan akan memantau dan menyerang serta mendedahkan rakyat apa sahaja kepincangan yang berlaku di kementerian PH.

“Kemudian akan memberi pandangan konstruktif berasaskan pengalaman kita mentadbir kerajaan dan polisi terbaik kerajaan PH akan disokong dan yang menyusahkan rakyat akan ditentang sekuat-kuat dengan menyediakan penyelesaian alternatif membina,” tegasnya lagi.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.