GEORGE TOWN – Dua rakan karib terlepas hukuman penjara selepas Mahkamah Tinggi di sini hari ini membebaskan dan melepaskan mereka daripada pertuduhan menyebabkan kematian seorang lelaki, di sini, empat tahun lalu.

Hakim Datuk Lim Chong Fong membuat keputusan tersebut selepas pihak pembelaan berjaya membuktikan tertuduh pertama dan kedua, N. Murugesh, 39 dan K. Baskaran, 37, kedua-duanya pemandu teksi, pergi ke tempat kejadian bagi meleraikan pergaduhan.

Bagaimanapun, hakim menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun terhadap tertuduh ketiga, Mohamed Shahabuddin Mohamed Ali, 54, selepas mendapati pihak pembelaan gagal membuktikan kes keraguan munasabah di akhir pembelaan.

Ketiga-tiga mereka didakwa terhadap pertuduhan pindaan iaitu mempunyai niat bersama melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian seorang pekerja kedai serbaneka, Chew Hup Keng, 46, di hadapan Chulia Court, Lebuh Chulia, di sini, pada jam 7.05 pagi, 1 Mei, 2015.

Ketiga-tiga mereka didakwa mengikut Seksyen 299 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun.

Dalam penghakiman, Lim berkata keterangan pembelaan tertuduh pertama, Mohamed Shahabuddin, tidak boleh dipercayai selepas didapati bersalah memukul dan menyebabkan kematian mangsa.

Selain itu, katanya, tertuduh pertama dan kedua telah mengemukakan dua saksi yang mengesahkan kedua-dua tertuduh bergegas ke tempat kejadian untuk meleraikan pergaduan antara tertuduh Mohamed Shahabuddin dengan si mati.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Amril Johari manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam R.S.N. Rayer.

Terdahulu, dalam rayuan, Rayer memohon mahkamah memberikan hukuman paling ringan terhadap Mohamed Shahabuddin atas alasan tertuduh sebelum ini hanya bekerja sambilan dan menjaga ibu yang sedang sakit tenat, terlantar serta seorang kakak. – Bernama

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.