Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor. foto FAREEZ FADZIL, 26 JUN 2019

KUALA LUMPUR – Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menasihatkan Skuad Badar supaya tidak bertindak bertentangan dengan undang-undang kerana skuad tersebut bukan badan penguatkuasa agama yang sah.

Malah Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor berkata, kumpulan itu tidak mempunyai kuasa untuk menjalankan sebarang bentuk tindakan penguatkuasaan.

“Perlu ditegaskan bahawa mana-mana kumpulan yang tidak berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) adalah dikira pertubuhan haram dan akan diambil tindakan yang sewajarnya ke atas mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan tersebut dikeluarkan susulan kenyataan Presiden Skuad Badar, Azhar Mohamad bahawa kumpulan tersebut bakal diaktifkan semula dan kegiatan mereka diperluaskan di seluruh negara sebagai usaha membenteras gejala maksiat dalam kalangan masyarakat Islam.

Semalam Azhar mengeluarkan kenyataan untuk mengaktifkan semula aktiviti kumpulan itu sebagai usaha membanteras gejala maksiat dalam kalangan masyarakat Islam yang disifatkannya semakin membimbangkan di negara ini.

Azhar sebelum ini dipetik sebagai berkata, kemunculan itu dibuat kerana beliau mahu menjaga anak bangsa beragama Islam agar terhindar daripada perkara mungkar. – MalaysiaGazette