Mohamed Khaled Nordin

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan UMNO akan kekal menjadi UMNO dengan prinsip dan aspirasi yang jelas dan akan terus berikhtiar mengubah diri dan menjadi lebih baik.

Naib Presiden UMNO itu berkata, UMNO berpendirian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bukan suara sebenar orang Melayu, sebaliknya hanyalah rakan kongsi DAP yang tidak serius dengan agenda Melayu.

“Jadi, atas dasar prinsip, kami tidak mahu menjilat kembali ludah sendiri dengan menerima Bersatu.

“Oleh itu, saya secara peribadi dan UMNO sebagai sebuah parti, menolak dengan baik dan tegas, pelawaan Tun Mahathir untuk UMNO menyertai Bersatu.

“Kami tidak mahu menjadi parti yang terdesak dan gilakan kuasa sehingga enggan memperbaiki diri dengan cara yang sewajarnya.

“Saya hanya berharap kepada Tun Mahathir untuk tidak menghalang kebangkitan dan pemulihan UMNO,” katanya.

Mengulas lanjut seruan Dr Mahathir Mohamad agar parti Melayu menyertai Bersatu dalam usaha menyatu padu serta memperkasakan kuasa politik orang Melayu, Khaled berkata, beliau tidak akan terkejut kalau ada mana-mana parti politik mahu bekerjasama dengan UMNO.

Ini kerana, UMNO adalah parti terbesar orang Melayu, jadi adalah logik dan praktikal untuk bekerjasama dengan UMNO dalam menguruskan Malaysia.

“Inilah yang UMNO dan PAS sedang lakukan. Bezanya, di bawah agenda penyatuan ummah UMNO-PAS, wujud strategi, naratif dan niat yang baik sehingga membawa kepada penerimaan dan sokongan besar orang Melayu di seluruh negara.

“Akan tetapi, apabila PPBM atau Bersatu yang mahu mendekati UMNO, malah mengajak parti ini untuk menyertai pasukan kecil mereka. Saya tergamam. Malah, saya kelu dan keliru.

“Seingat saya, UMNO sudah mati, seperti yang didakwa oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini. UMNO sudah rosak dan parti yang korup kerana kononnya mahu mempertahankan sesetengah pemimpin sahaja seperti yang dikecam Tun Mahathir. Jadi, adakah kini Tun Mahathir dan tiba-tiba melihat UMNO sebagai parti mati yang hidup semula? Yang secara ajaib sudah tidak korup dan tidak rosak?,” soal Khaled. – MalaysiaGazette