PLUS

KUALA LUMPUR – Kerajaan telah menerima cadangan daripada Maju Holdings Sdn Bhd untuk mengambil alih pengendali lebuh raya PLUS Malaysia Bhd pada minggu lalu.

“Ya, kami telah menerima cadangan rasmi daripada Maju,” kata Menteri Kerja Rata, Baru Bian ketika ditemui di lobi Parlimen di sini hari ini.

Menurutnya, cadangan itu masih berada di peringkat menteri dan akan mengkajinya sebelum mencadangkan kepada Kabinet.

“Ini adalah urus niaga perniagaan. Peranan kami hanya membuat cadangan berhubung perkara itu. Pada peringkat ini hanya menerima cadangan berkenaan,” tambahnya.

Bagaimanapun, pagi tadi, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, kementeriannya telah menolak cadangan pengambilalihan PLUS oleh Maju Holding selepas mengambil kira pandangan awal pemegang utama PLUS – Khazanah Nasional Berhad dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Namun, Guan Eng berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan pengurusan Maju Holding mengenai tawaran berkenaan.

“Kami menerima banyak cadangan daripada pelbagai pihak. Kami membuat keputusan awal berdasarkan kepada pendapat para pemegang saham utama, iaitu Khazanah dan KWSP.

“Pada masa ini, Khazanah dan KWSP tidak bersetuju dengan pengambilalihan itu. Tetapi, keputusan muktamad akan tetap dibuat oleh perdana menteri,” – MalaysiaGazette