KUALA LUMPUR – Empat kaldai dadah rakyat Malaysia yang dijatuhi hukuman mati di Singapura mungkin akan menjalani hukuman tersebut dalam tempoh beberapa minggu lagi.

Ini kerana petisyen pengampunan mereka ditolak oleh kerajaan republik itu bersama enam lagi tahanan lain.

Dengan itu, Lawyers for Liberty menggesa kerajaan Singapura untuk menangguhkan hukuman mati yang tidak mengikut perlembagaan itu dan menangguhkan kesemua hukuman mati bagi memberi ruang untuk melakukan kajian mendalam terhadap petisyen pengampunan tersebut.

Penasihatnya, N. Surendran juga menggesa kerajaan Malaysia untuk melakukan sesuatu bagi mengelakkan empat rakyat Malaysia itu dijatuhi hukuman mati.

Jelasnya, tindakan Singapura menolak petisyen pengampunan itu merupakan kali pertama berlaku dan ianya amat mengejutkan.

Ini menunjukkan negara tersebut sedang bersedia untuk melakukan hukuman mati besar-besaran meskipun bercanggahan dengan norma perundangan antarabangsa dan pendapat umum dunia.

“Singapura berbuat demikian walaupun terdapat bukti kukuh bahawa hukuman mati ke atas keldai dadah tidak akan menghalang sindiket pengedaran dadah.

“Jumlah besar penolakan pengampunan ini juga menimbulkan persoalan serius mengenai sama ada setiap kes tahanan telah diberi pertimbangan mendalam oleh kabinet dan presiden.

“Hak-hak perlembagaan bagi setiap banduan menyatakan mereka perlu diberi pertimbangan wajar sesuai dengan prinsip hukukam yang telah ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Surendran, hak banduan untuk mendapatkan pertimbangan wajar dalam petisyen pengampunan mereka telah pun dicabul oleh kenyataan umum Menteri Dalam Negeri Singapura pada 24 Mei lalu.

“Bagaimana kita boleh berlembut dengan rakyat Malaysia untuk menghadapi statistik ini.

“Bukan mudah untuk terus meminta Singapura untuk menghentikan hukuman yang telah ditetapkan oleh mahkamah,” katanya.

Jelas Surendran, kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh Shanmugam itu menggambarkan seolah-oleh banduan Malaysia telah menjadi sasaran dan kerajaan telah pun memutuskan untuk meneruskan hukuman hati.

“Ini adalah tidak mengikut undang-undang kerana petisyen pengampunan mesti diberi pertimbangan mengikut merit individu,” tegasnya.

Empat rakyat Malaysia yang berdepan dengan hukuman mati itu adalah Datchinamurthy a/l Kataiah, Gobi a/l Avedian, Abdul Helmi bin Ab. Halim dan Rahmat.- MalaysiaGazette