Mohamed Apandi Ali
Mohamed Apandi Ali

KUALA LUMPUR – Bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali memfailkan saman fitnah RM10 juta terhadap Penasihat DAP, Lim Kit Siang berhubung penerbitan sebuah artikel di dalam portal berita Malaysiakini yang mendakwanya bersubahat di dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Mohamed Apandi, kini peguambela dan peguamcara yang berpengalaman lebih 45 tahun di dalam bidang undang-undang memfailkan saman itu pada 5 Julai lepas menerusi Tetuan Saibullah M.V. Nathan & Co. dengan menamakan Lim sebagai defendan tunggal dalam saman berkenaan.

Media memperoleh salinan dokumen itu hari ini.

Dalam penyataan tuntutan, Mohamed Apandi selaku plaintif mendakwa pada 6 Mei lepas, Lim telah menulis dan telah menyebabkan penyiaran atau penerbitan artikel bertajuk “Dangerous fallacy to think Malaysia’s on the road to integrity” di dalam portal berita Malaysiakini.

Mohamed Apandi yang dilantik sebagai peguam negara pada 27 Julai 2015 hingga 4 Jun 2018 mendakwa perkataan-perkataan fitnah di dalam artikel itu antara lain membawa maksud bahawa beliau telah bersubahat dan terlibat di dalam kegiatan jenayah terutama di dalam skandal kewangan 1MDB; tidak mempunyai integriti dan tidak bermoral; tidak beretika dan menyalahguna kuasa sebagai peguam negara pada masa itu.

Plaintif juga mendakwa perkataan-perkataan fitnah itu adalah tidak benar dan sengaja ditulis untuk menjatuhkan imej serta kredibilitinya sebagai bekas Peguam Negara Malaysia demi mendapatkan publisiti murahan selain mendakwa dengan penerbitan artikel itu menyebabkan beliau berasa malu terhadap keluarga, kenalan dan warga profesional dalam kalangan ahli jurusan undang-undang.

Dakwanya, penerbitan artikel itu kini diketahui oleh orang ramai kerana ia telah disiar semula dan dikongsi melalui sistem pesanan “whatsapp”, “twitter” serta lain-lain forum media sosial seperti “Facebook”.

Mohamed Apandi mendakwa pada 13 Jun lepas, satu notis tuntutan telah dihantar kepada Lim supaya menarik balik semua pernyataan yang ditulis dan memohon maaf namun defendan gagal mematuhinya.

Oleh itu, plaintif menuntut gantirugi am sebanyak RM10 juta, gantirugi teruk, gantirugi teladan (eng: exemplary), perintah injunksi bagi menghalang defendan, pekerja, ejen atau mana-mana pihak daripada menerbitkan semula perkataan fitnah dalam artikel berkenaan selain menuntut kos dan relif lain yang sesuai daripada mahkamah. – Bernama