Datuk Takiyuddin Hassan. foto FAREEZ FADZIL.

KUALA LUMPUR – Piagam kerjasama muafakat membabitkan Pas dan UMNO dipercayai tertangguh lagi hari ini.

Menurut Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan, langkah untuk memuktamadkan piagam itu pada malam ini tertangguh kerana ada undi dalam Dewan Rakyat mengenai Pindaan Perlembagaan Persekutuan.

“Kita belum muktamadkan piagam antara Pas dan UMNO. Sepatutnya kedua-dua parti mesyuarat malam ini tapi tertangguh lagi sebab ada pengundian Pindaan Pelembagaan sampai malam, kita tangguh dahulu.

“Kita akan buat secepat mungkin dalam bulan ini jugak,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bulan lalu berkata, pengisytiharan dokumen rasmi Piagam UMNO Pas akan dibuat pada penghujung Julai ini.

Proses pembentukan dokumen itu kini memasuki fasa akhir dengan mesyuarat jawatankuasa induk kali kedua yang dianggotai 11 wakil daripada setiap parti.

Piagam tersebut membawa kepada satu peringkat baharu kerjasama di antara kedua-dua parti itu yang melibatkan semua lapisan daripada peringkat bahagian atau kawasan sehingga ke Pusat melalui manual bertulis.

Kerjasama politik atau ‘tahaluf’ dengan UMNO bagaimanapun perlu mendapat kelulusan Majlis Syura Ulama. – MalaysiaGazette