Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye.

KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye tidak kisah dimaki hamun dalam soal larangan merokok, hanya kerana beliau telah banyak melihat kes bagaimana rokok merosakkan kebahagian keluarga.

Boon Chye yang merupakan seorang doktor berkata, sepanjang berkhidmat dalam kerjaya itu, beliau melihat terlalu banyak kes orang muda kehilangan kesihatan kerana ketagihan merokok.

Boon Chye berkata, beliau justeru berazam untuk meneruskan usaha penguatkuasaan larangan merokok di restoran, walaupun sedar bahawa tindakan itu akan mengundang maki hamun.

“Ada dua pertimbangan semasa kami melaksanakan satu polisi iaitu sama ada ia betul dan kedua sama ada ia diterima baik.

“Saya ada satu pegangan selama ini iaitu kami harus melaksanakan perkara yang betul walaupun ia sukar dilaksanakan,” katanya kepada Sinchew Daily.

Beliau berkata, larangan merokok di restoran bukan bertujuan menyusahkan perokok, tetapi untuk mewujudkan ruang bebas rokok untuk semua.

“Harapan saya ialah perokok dapat mengurangkan kekerapan merokok walaupun ia tidak dapat membantu perokok membuang tabiat ini.

“Jika perokok betul-betul berazam mahu membuang tabiat ini, terdapat 731 klinik kesihatan yang menyediakan rawatan untuk membuang tabiat merokok,” katanya.

Tambahnya, kerajaan mengutip cukai bernilai RM4 bilion melalui penjualan tembakau setiap tahun, tetapi Kementerian Kesihatan menanggung kos RM7.4 bilion untuk masalah kesihatan rakyat berkaitan rokok.

“Jika kos rawatan institusi perubatan swasta juga dikira, maka kosnya akan mencecah RM16 bilion,” jelasnya.

Ditanya kenapa Malaysia tidak mewujudkan zon merokok seperti yang dilaksanakan Singapura, Boon Chye menjelaskan, pendekatan yang diamalkan kedua-dua negara berbeza.

“Singapura mengisytiharkan satu kawasan yang luas seperti satu destinasi pelancongan sebagai kawasan melarang rokok dan mewujudkan satu kawasan kecil dalamnya sebagai tempat merokok.

” Malaysia pula menjadikan satu kawasan yang kecil sebagai zon larangan merokok, perokok boleh merokok selepas keluar dari kawasan ini,” katanya.

Tambahnya, bilik merokok di restoran adalah kurang praktikal kerana asap rokok boleh merebak 100 meter dan menjejaskan orang lain. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.