Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bercakap kepada media pada Majlis Pelancaran Program Citarasa Malaysia di Tesco Mutiara Damansara, Petaling Jaya. foto FAREEZ FADZIL, 18 JULAI 2019

PETALING JAYA – Anggota dan pemimpin PKR disarankan menggunakan medium yang sesuai untuk menyuarakan perbezaan pandangan tentang isu video intim yang tular dan menjadi perhatian baru-baru ini.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, parti itu mengadakan mesyuarat berkala yang sepatutnya dimanfaatkan untuk menyuarakan pendapat sebelum sesuatu  keputusan yang ditetapkan menerusi persetujuan dibahas kepada umum.

“Kita ada salurannya, setiap bulan kita bermesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP), setiap minggu kita ada mesyuarat Biro Politik, di situlah medan kita nak beza pendapat, nak hentak meja, kemudian bila kita keluar, kita keluar sebagai satu parti yang telah mencapai beberapa ketetapan dan keputusan,” katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Program Citarasa Malaysia di Tesco Mutiara Damansara, Petaling Jaya.

Saifuddin tidak menafikan jawapan yang diberikan kepada pemberita kadang-kala akan menghangatkan lagi suasana sekiranya pemimpin mahupun anggota parti gagal menggunakan platform yang terbaik.

“Sabagai Setiausaha Agung macam saya keluarkan kenyataan juga dari semasa ke semasa.

“Hari-hari media tanya kita pun kena jawab, kadang jawapan kita itu boleh memanaskan suasana,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan terkini dalam PKR apabila dua pemimpin tertinggi iaitu Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilihat saling memberi kenyataan balas berhubung isu video intim yang didakwa melibatkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu.

Anwar pada mulanya bersetuju agar Azmin bercuti daripada jawatan dan kerajaan sekiranya video itu disahkan tulen.

Perkara itu mengundang ketidakpuasan hati 27 Ahli MPP dan juga Ahli Parlimen PKR yang menyebelahi Azmin hari ini menerusi sebuah kenyataan media.

Ekoran itu Anwar akhirnya bersetuju dengan pandangan kesemua anggota MPP agar beliau tidak mengulas mengenai video itu.

Untuk rekod Azmin menegaskan dirinya tidak terlibat dalam video intim yang tersebar itu. – MalaysiaGazette