Datuk Seri Azmin Ali. foto FAREEZ FADZIL, 16 JULAI 2019

KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad didakwa kini mempunyai alasan kuat untuk tidak membenarkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menggantikannya.

Ini kerana, dulu Dr Mahathir pernah berkata bahawa peliwat tidak boleh jadi perdana menteri dan logiknya yang kena liwat secara sukarela juga tidak boleh jadi perdana menteri.

“Maka tercapailah cita-cita Tun M, iaitu jawatan PM kekal milik PPBM. Bolehlah Peribumi terus hidup kerana jawatan nombor satu negara tidak terlepas kepada PKR,” kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zakarshi.

Tambahnya: “Patutlah Mukriz membuat kenyataan, bahawa dia sudah cukup bersedia untuk mewarisi “legasi” ayahnya”.

Mohd Puad juga tertanya-tanya apa maksud Azmin apabila meminta Anwar membaca bibirnya dan mencermin dirinya.

“Apa sebenarnya maksud Azmin bila suruh baca bibir dia. Apakah Azmin menyimpan banyak rahsia Anwar?

“Apakah itu bermakna Azmin akan membocorkan rahsia Anwar kepada Tun M sebagai tindak balas?,” soalnya yang mengandaikan ‘baca bibir saya’ bermaksud isyarat bahawa Timbalan Presiden PKR itu tidak akan berdiam diri. – MalaysiaGazette