Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Aminuddin Yahaya (tengah) menunjukkan keratan akhbar kepada media mengenai perbicaraan kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim di Pejabat NGO Muafakat, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 19 JULAI 2019

KUALA LUMPUR – Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) berpendapat Peguam Negara gagal melaksanakan tanggungjawab menegakkan keadilan dalam kes Allahyarham Muhammad Adib Mohd. Kassim.

Justeru, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan Yang Dipertuan Agong bagi menyuarakan pandangan rakyat.

Pengerusinya, Aminuddin Yahya berkata, pihaknya telah menghantar surat kepada Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung tindakan yang perlu dikenakan ke atas Tommy Thomas ekoran didakwa menghina mahkamah menerusi kes berkenaan.

Beliau berkata, pertemuan tersebut akan diadakan dalam masa terdekat dan langkah itu diambil bagi memberi tekanan kepada kerajaan agar mengambil perhatian terhadap perkara yang disuarakan rakyat.

“Kita juga akan meneruskan tekanan ini. Kita akan buat pertemuan dengan YDPA (Yang Dipertuan Agong) dalam masa yang terdekat ini.

“Kita telah menghantarkan surat untuk menyatakan pandangan rakyat terhadap Peguam Negara ini. Kita akan guna pelbagai saluran,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Terdahulu, pada sidang media sama, Aminuddin menegaskan, ratusan laporan polis akan dibuat di seluruh negara sekiranya kerajaan gagal bertindak terhadap Tommy.

Meskipun menyedari terdapat banyak laporan polis dibuat terhadap Tommy oleh pihak-pihak tertentu sebelum ini terutamanya dalam kes Adib, namun, langkah terbaru NGO itu yang mahu membuat laporan adalah bagi memberi isyarat untuk menunjukkan kemudaratan yang telah dilakukan oleh Peguam Negara.

“Memang kalau tindakan tidak ada sekalipun tapi, rakyat telah sedar bahawa hari ini negara telah diketuai oleh seorang yang memang tidak faham isu jenayah ini dan bukan pakar pun,” ujarnya.

Baru-baru ini, bapa Allahyarham Muhammad Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid, 63, memfailkam permohonan ex-parte (sebelah pihak) kepada pihak mahkamah terhadap Tommy supaya dibicarakan.

Permohonan tersebut dibuat ekoran Tommy dalam afidavitnya membuat kesimpulan awal tentang punca kematian anggota bomba tersebut meskipun inkues masih berlangsung.

Permohonan untuk memulakan prosiding komital itu difailkan Mohd Kassim melalui Tetuan Mohd Zubir Embong & Associates di Mahkamah Sesyen.

Permohonan itu juga telah diutarakan kepada Peguam Negara menerusi Pegawai Pengendali inkues, Faten Hadni Khairuddin. – MalaysiaGazette