MELAKA – Pulau Pinang membuat kejutan apabila mara ke Liga Super 2020 selepas menewaskan PDRM 2-1 di Stadium Hang Jebat, Paya Rumpu malam tadi.

Biarpun kelebihan awal lebih memihak PDRM, UiTM dan Negeri Sembilan pada carta Liga Perdana sebelum perlawanan terakhir, kemenangan dramatik berjaya membawa Harimau Kumbang mengiringi Sabah sebagai juara Liga Perdana.

Pelawat menjaringkan gol pertama seawal minit ke-10 menerusi tandukan bekas import Melaka United (MU), Anselmo Casagrande yang menewaskan penjaga gol Shahril Sa’ari.

Bagaimanapun tuan rumah menyamakan kedudukan menerusi rembatan leret Patrick Ronaldinho pada minit ke-30 selepas mengutip hantaran R Gopinathan.

The Cops terpaksa melalui saingan memeritkan dengan beraksi 10 pemain pada minit ke-40 selepas import kelahiran Nigeria, Uche Agba dilayangkan kad merah akibat mengasari pemain pelawat.

The Cops yang hanya perlukan kemenangan untuk mengesahkan tempat ke Liga Super musim depan terpaksa berdepan asakan hebat pelawat pada babak kedua.

Hasilnya Mohamad Al Hafiz Harun merembat cantik gol kedua buat pelawat pada minit ke-51 sekali gus mengukuhkan cengkaman.

Tuan rumah terus dihambat duka selepas dua lagi pemainnya dilayangkan kad merah pada masa tambahan memaksa paskan itu beraksi dengan lapan pemain.

Keputusan UiTM dan Negeri Sembilan yang terikat 1-1di Shah Alam membolehkan Pulau Pinang memintas kedua-dua pasukan dan PDRM untuk mara ke Liga Super musim depan. – MalaysiaGazette