Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR- Proses perolehan dan perbelanjaan Fasa Pertama projek membaik pulih sekolah daif di Sarawak sebanyak RM350 juta akan disegerakan sebaik sahaja kerajaan negeri membayar hutang mereka.

Menurut Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, Ketua Menteri Sarawak telah menyatakan kesediaan untuk menyalurkan bayaran balik pinjaman fasa pertama sebanyak RM350 juta dalam tempoh terdekat.

Selepas itu, beberapa perkara harus dimuktamadkan, di antaranya jadual pelaksanaan, senarai sekolah dan proses tender bagi projek tersebut, jelasnya.

“Dengan semangat kerjasama dan niat ikhlas semua pihak, Kementerian Kewangan yakin bahawa proses tender bagi fasa pertama projek membaik pulih sekolah daif di Sarawak ini akan dilaksanakan sebelum hujung tahun 2019,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Guan Eng, setakat 30 Jun lalu, kerajaan negeri Sarawak masih mempunyai hutang sebanyak RM2.352 bilion dengan kerajaan persekutuan.

Sekiranya Sarawak telah membuat pembayaran sebanyak RM1 bilion, baki hutang negeri itu masih lagi berjumlah RM1.352 bilion.

“Kerajaan Persekutuan telah bersetuju secara dasarnya untuk menerima sebahagian daripada bayaran balik pinjaman hutang Kerajaan Negeri Sarawak sebanyak RM1 bilion kepada Kerajaan Persekutuan untuk diperuntukkan bagi membaik pulih sekolah daif, tertakluk kepada mekanisme perundangan yang ditetapkan, iaitu:

“Pertama, Kerajaan Negeri Sarawak hendaklah membayar balik sehingga RM1 bilion daripada jumlah hutangnya kepada Kerajaan Persekutuan ke dalam Kumpulan Wang Disatukan Kerajaan Persekutuan.

‘Kedua, Kerajaan Persekutuan akan menyalurkan jumlah sama seperti yang dibayar balik oleh Kerajaan Negeri sebagai peruntukan untuk digunakan bagi projek membaik pulih sekolah daif di Sarawak” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Guan Eng, kerajaan persekutuan juga mensyaratkan supaya kerja membaik pulih sekolah daif di Sarawak hendaklah ditawarkan secara tender terbuka bagi memastikan ketelusan dan nilai berpatutan.

Kerajaan persekutuan juga katanya, bersedia mengambil kira keutamaan Kerajaan Negeri Sarawak dalam menentukan sekolah daif untuk dibaik pulih.

“Keempat-empat kriteria ini telah dipersetujui oleh Kerajaan Negeri Sarawak dalam surat Ketua Menteri Sarawak kepada saya yang diterima pada 15 Julai 2019.

“Kementerian Kewangan ingin menjelaskan bahawa cadangan Kerajaan Negeri Sarawak menggunakan bayaran balik pinjaman untuk membaik pulih sekolah daif.

“Ini sebenarnya adalah wang pendahuluan Kerajaan Persekutuan kerana melibatkan penggunaan dana yang dipinjamkan kepada Kerajaan Negeri Sarawak sebelum ini.

“Sebagai bayaran balik pinjaman kepada Kerajaan Persekutuan, ianya bermaksud dana RM1 bilion tersebut sebenarnya merupakan wang milik Kerajaan Persekutuan sendiri, yang dipersetujui untuk digunakan bagi membaik pulih sekolah daif di Sarawak,” katanya. – MalaysiaGazette