Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali

KUALA LUMPUR- Ciapan pendek Datuk Seri Mohamed Azmin Ali malam tadi menimbulkan pelbagai tandatanya.

“Banyak tu je………” tulisnya dan ia mengundang pelbagai tafsiran dalam kalangan netizen.

Bagaimanapun, kenyataan Timbalan Presiden PKR itu seakan-akan memerli dan ada kaitan dengan jumlah sokongan pimpinan partinya yang menyatakan sokongan kepada presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sejak beberapa hari lepas, beberapa pimpinan parti itu di negeri-negeri dilihat sibuk mengiystiharkan sokongan kepada Anwar.

Anwar dan Mohamed Azmin pula dilihat tidak serasi ekoran kes yang melibatkan video seks kontroversi baru-baru ini dan ikrar sokongan pimpinan PKR di negeri-negeri dilihat ada kaitan dengannnya.

Bagaimanapun, semalam, Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin mempertikaikan kenapa perlu ada ikrar sokongan kepada presiden parti ketika ini.

Zuraida merupakan penyokong kuat kem Mohamed Azmin dalam PKR.

Dalam pada itu, Anwar pula dilihat enggan lagi mengulas isu berkaitan kes video yang sama termasuk apabila ditanya kenyataan setiausaha politiknya, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak yang terang-terangan mengkritik Mohamed Azmin.-MalaysiaGazette