Menteri Pendidikan Malaysia, Dr. Maszlee Malik berucap pada sidang media mengenai keputusan mesyuarat Kabinet berhubung isu tulisan khat yang dilaksanakan secara pilihan di Kementerian Pendidikan Malaysia, Putrajaya. foto NOOREEZA HASHIM, 08 OGOS 2019.

PUTRAJAYA – Program ‘coding’ yang telah diperkenalkan sejak Mac 2016 akan diperluas ke semua sekolah di negara ini bermula tahun hadapan.

Menurut Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, sistem itu sudah mula dilaksanakan sejak 2016 dan mendapat sambutan yang menggalakan daripada para pelajar.

“Orang tanya kenapa kita tidak perkenalkan oding, mohon maaf kita sudah perkenalkan sejak 2016. Kita mula dengan tahun 6, dan bilangan murid yang mengikuti program ini adalah 431,231 dan menjelang tahun 2020, semua sekolah rendah memang diajarkan coding lama sebelum Thailand lagi,” katanya dalam sidang media di kementeriannya, hari ini.

Menurut Maszlee, pembelajaran tersebut akan memberikan manfaat kepada 1,317,493 murid sekiranya dilaksanakan mulai tahun hadapan.

Program yang dilaksanakan Barisan Nasional (BN) pada 2016 itu adalah sebahagian daripada aktiviti kokurikulum sekolah rendah.

Ia bagi melatih serta mengembangkan kemahiran murid dalam menyelesaikan masalah melalui pengaturcaraan komputer.

‘Coding’ atau pengekodan yang diajar kepada murid sekolah rendah dan menengah dalam pelaksanaan KSSR dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) Semakan 2017.

Di sekolah rendah ia membabitkan murid Tahap Dua (Tahun Empat, Lima dan Enam), manakala untuk sekolah menengah membabitkan Tingkatan Satu hingga Tiga.

Aspek Coding dipelajari melalui mata pelajaran Reka Bentuk dan Teknologi serta Asas Sains Komputer.

Ahli Parlimen DAP Kepong Lim Lip Eng memetik penulisan artikel Malaysiakini yang menyebut, ketika negara-negara jiran mengajar ‘coding’ kepada anak-anak muda, di Malaysia pula memperkenalkan khat jawi. – MalaysiaGazette