Datuk Mohd Razlan Rafii
Mohd Razlan Rafii

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Kluang cuba memalukan tulisan jawi apabila mengaitkannya dengan penerbitan buku pornografi dan kitab kristien.

Selain tidak ikhlas menyokong pelaksanaan tulisan Jawi, Wong Shu Wi juga menurut Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Mohd Razlan Rafii sengaja mahu mensensasikan isu tersebut dalam kalangan penyokong DAP.

“Apa yang dilakukan oleh MP Kluang adalah satu yang tidak bertanggunjawab terhadap negara, ada banyak contoh yang boleh diambil untuk menunjukkan DAP ikhlas dalam menyokong (pembelajaran tulisan Jawi).

“Tapi apa yang beliau lakukan, adalah dengan sengaja untuk mencari isu dalam mensensasikan isu ini, dan mendapat tepukan dari penyokong DAP dengan memalukan penulisan khat Jawi.

“MP ini harus menghormati perasaan di antara Melayu, tindakan menggunakan contoh bahan lucah adalah satu perkara yang bodoh dan ketinggalan zaman,”katanya menerusi kenyataan.

Mohd Razlan mengulas mengenai klip video berdurasi 22 saat, ketika Wong menyampaikan ucapan di sebuah dialog bersama Persatuan Tiong Hwa dan wakil 27 persatuan masyarakat Cina pada 9 Ogos yang lalu di Kluang.

Ujarnya, secara logiknya Ahli Parlimen tersebut boleh menggunakan banyak contoh yang lain untuk menjelaskan tentang penggunaan tulisan jawi sejak beberapa tahun yang lalu.

“Untuk menunjukkan contoh bahan penulisan dalam Jawi, ada banyak contoh perjanjian Malaya dengan tulisan Jawi dan boleh tunjuk juga (akhbar Jawi) Utusan Melayu,” katanya lagi.

Untuk rekod, Wong menerusi kenyataannya mengaku menggunakan contoh itu hanya untuk menjelaskan bahawa tulisan JAwi bukan digunakan hanya untuk taktik pengislaman sahaja. -MalaysiaGazette